
KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail mengingatkan bahawa perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 tidak harus dilihat secara terfokus kepada Perdana Menteri semasa, sebaliknya melibatkan mana-mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada bila-bila masa.
Beliau menegaskan, perkara itu perlu difahami kerana RUU tersebut bukan sekadar berasaskan kepada niat, tetapi apa yang termaktub dan tertulis dalam peruntukan undang-undang itu sendiri.
“Yang keduanya saya nak juga bersetuju dengan cadangan iaitu bukan isu menolak tetapi isu minta supaya rang undang-undang ini ditangguhkan dulu, dinilai semula, diberi kepada pihak-pihak yang berkepentingan.
“(Ia) seperti jawatankuasa bahagian semakan undang-undang dan juga termasuk membabitkan soal tadbir urus, integriti dan juga anti rasuah turut meneliti undang-undang yang saya fikir sangat penting,” terangnya.
Beliau berkata demikian ketika berbahas pada RUU Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Negara, Parlimen, di sini semalam.
Menurutnya, RUU berkenaan amat penting kerana ia menjadi pintu masuk dan keluar kewangan negara, bukan sekadar bernilai RM1 bilion, tetapi boleh mencecah ratusan bilion ringgit.
“Sebab itu saya harap rang undang-undang yang 93 fasal ini harus diberi masa yang cukup diteliti betul-betul supaya maksud bahawa kita berhasrat untuk melahirkan sebuah negara yang berintegriti, tadbir urus yang bagus dan rasuah yang menurun dapat dilaksanakan dengan peruntukan yang ada ini,” ujarnya.
Namun dedahnya, masih terdapat banyak kelompongan dalam peruntukan RUU itu sehingga boleh dipersoalkan keberkesanan mencapai matlamat sebenar.
“Contohnyalah melalui beberapa peruntukan kuasa-kuasa, kuasa yang diberikan kepada menteri terlalu besar. Yang keduanya berhubung dengan data-data yang kita mungkin boleh ulangi, ketelusan dari sudut perolehan dan alir keluar.
“Kita mungkin ada fakta, mungkin ada data, mungkin ada peruntukan dengan akta tetapi contohlah ketelusan ini kita cakap nak telus, nak telus tetapi isu royalti di Terengganu sampai hari ini makin terus menjadi tanda tanya.
“Apakah ini menjadi sebahagian daripada hati dan intipati daripada RUU ini yang mengharapkan ketelusan?” soalnya.
Hussin turut menyentuh peruntukan berhubung kuasa meluluskan perolehan mega tanpa had yang menurutnya memberi peranan terlalu besar kepada Menteri.
“Ini satu hal yang sangat-sangat penting sebab kita tengok di sini peranan menteri mempunyai kuasa yang agak mutlak walaupun dia kata Datuk Menteri Kewangan kita sebenarnya sudah menyekat dan mengekang.
“Tapi realiti yang ada dalam akta yang kita bincangkan ini sebenarnya makin membuka luas, kalau tidak buka luas pun tak tutup sebahagian besar daripada ruang-ruang yang tadi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2025











