Ukhuwah Assabiqun PAS Perlis teguhkan peranan veteran

- Advertisement -

KANGAR* Program Ukhuwah Assabiqun PAS Perlis menjadi himpunan penuh bermakna para veteran dan aktivis lama parti, sekali gus medan memperkukuh semangat perjuangan kalangan generasi terdahulu dengan barisan kepimpinan negeri.

- Advertisement -

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Pesuruhjaya, Senator Baharuddin Ahmad serta Setiausaha PAS Negeri dan Wan Hassan Wan Ismail serta Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Perlis, Cik Ani Hassan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dalam ucapannya menyentuh pengalaman beliau menghadiri pelbagai majlis Assabiqun di seluruh negara.

Beliau berkongsi satu pengalaman unik ketika menghadiri sebuah majlis di Kuala Lumpur, apabila seorang wanita tanpa tudung turut serta bersama peserta lain.

“Mulanya saya hairan bagaimana ada seorang wanita sebegitu dalam kalangan Assabiqat. Namun, selepas selesai majlis dan sesi bergambar, wanita tersebut memperkenalkan dirinya sebagai ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

“Katanya, walaupun bukan Islam, beliau tertarik dengan gerakan Assabiqat hingga sanggup hadir dan menyertai majlis itu,” katanya yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perlis itu.

Menurut beliau, kisah tersebut menjadi bukti keterbukaan dan kekuatan tarikan perjuangan PAS yang mampu menghadapi perbezaan agama serta budaya.

Dalam ucapannya, Tuan Guru yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang turut mengingatkan hadirin mengenai hakikat penciptaan makhluk Allah SWT.

Beliau menghuraikan perbezaan antara manusia, jin, malaikat, haiwan dan jamad (benda tidak bernyawa) yang masing-masing dikurniakan sifat berbeza.

“Manusia diberikan akal dan nafsu. Malaikat serta jin pula dikurniakan akal tanpa nafsu, sementara haiwan hanya bernafsu tanpa akal. Adapun jamad, tiada kedua-duanya. Justeru, tanggungjawab manusia lebih berat kerana memiliki akal untuk berfikir dan membuat pilihan,” tegasnya.

Beliau turut merujuk ayat al-Quran yang menjelaskan neraka disediakan untuk sebahagian besar jin dan manusia kerana kedua-duanya diberi akal, tetapi gagal memanfaatkan anugerah itu untuk menjalankan amanah.

Mursyidul Am PAS menekankan pentingnya sifat kepimpinan berasaskan kebenaran dan amanah yakni mesti bercakap benar, menunaikan janji serta menjalankan tanggungjawab dengan jujur kerana sifat inilah yang membuatkan masyarakat, termasuk bukan Islam, menghormati PAS.

“Walaupun tuan-tuan termasuk dalam golongan Asabiqun dan Assabiqat, jangan sampai hilang tenaga untuk terus bergerak. Kita perlu istiqamah dengan prinsip bercakap benar, menunaikan janji dan melaksanakan amanah.

“Inilah yang menarik sokongan orang lain kepada PAS,” ujarnya turut menekankan kepentingan menghidupkan markas-markas PAS di seluruh negeri sebagai pusat penyatuan masyarakat.

Menurutnya, usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada kekuatan organisasi parti, bahkan turut membuka ruang kepada masyarakat luar, termasuk bukan Islam, untuk lebih dekat dengan perjuangan PAS.

“Bahkan ada juga tokoh dari parti lain yang mula menyatakan sokongan terhadap PAS, walaupun mereka bukan ahli. Ini isyarat jelas bahawa perjuangan kita semakin diterima,” katanya.

Program Ukhuwah Assabiqun PAS Perlis kali ini sekali lagi membuktikan peranan besar golongan veteran dalam memelihara warisan perjuangan Islam di negeri ini.

Dengan kehadiran tokoh-tokoh utama parti, ia menjadi medan muhasabah serta pengikat ukhuwah antara generasi terdahulu dengan generasi semasa demi kesinambungan dakwah dan politik Islam di Perlis. – HARAKAHDAILY 8/9/2025

- Advertisement -