
KANGAR: Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) menjadi saksi penghimpunan besar warga veteran parti dalam program Ukhuwah Assabiqun PAS Perlis yang berlangsung penuh semangat persaudaraan.
Bermula seawal 8.30 pagi, program ini turut memperlihatkan kehadiran tokoh pimpinan tertinggi PAS yang menghargai jasa para pejuang awal parti Islam itu di negeri Perlis.
Majlis gilang-gemilang ini diserikan dengan kehadiran Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, serta Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Senator Baharuddin Ahmad dan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Wan Hassan Wan Ismail serta Pengerusi Sidang Asabiqun PAS Perlis, Cik Ani Hassan.
Kemuncak acara adalah penyampaian Anugerah Jasa dan Kebaktian, satu pengiktirafan rasmi kepada tokoh-tokoh veteran yang telah mengabdikan diri dalam perjuangan PAS sejak sekian lama.
Untuk peringkat negeri, penerima anugerah ialah Ustaz Yahaya Ahmad, 82, dari Kampung Perawah, Mata Ayer, yang dikenali sebagai rujukan untuk sejarah PAS Perlis.
Juga Ustazah Ramlah Ahmad, 80, dari Kampung Padang Keria, Simpang Empat, yang merupakan Ketua Muslimat PAS Cawangan Padang Keria Timur.
Pengiktirafan turut diberikan di peringkat kawasan terdiri dari kawasan Kangar, penerima ialah Mohamad Fuat Abu Bakar, 64, dan Hatun Osman, 73, kawasan Arau menampilkan dua tokoh berpengaruh, iaitu Abi Jamrah Ismail, 82, dan Siti Hajar Yin, 71.
Juga kawasan Padang Besar menyaksikan Saari Bakar, 72, serta Amnah Abd Rahman, 76, dipilih sebagai penerima anugerah atas sumbangan dan kesetiaan mereka kepada perjuangan parti.
Program ini menjadi platform mempertautkan kembali ukhuwah antara Assabiqun dan Assabiqat, iaitu para veteran PAS yang pernah melalui pelbagai cabaran dan pahit getir perjuangan sejak era awal penubuhan PAS di Perlis.
Kehadiran mereka bukan sahaja membangkitkan nostalgia, malah menyuntik semangat generasi muda untuk terus melangsungkan obor perjuangan Islam di negeri ini.
Suasana penuh hormat menyelubungi majlis apabila para hadirin diberikan kesempatan mendengar pesanan dan nasihat daripada Mursyidul Am PAS serta Pesuruhjaya PAS negeri.
Mereka menekankan pentingnya kesinambungan perjuangan serta penghargaan terhadap jasa generasi terdahulu yang menjadi tulang belakang kebangkitan PAS di Perlis.
Program seperti ini diyakini mampu memperkukuhkan ikatan antara generasi veteran dengan barisan pelapis, sekali gus mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa kejayaan hari ini dibina di atas keringat dan pengorbanan para pejuang lama.
Dengan penghargaan yang diberikan, PAS Perlis ternyata tidak melupakan jasa Assabiqun dan Assabiqat, sebaliknya terus meraikan mereka sebagai sumber ilham perjuangan. – HARAKAHDAILY 8/9/2025












