
KANGAR: Program Ukhuwah Assabiqun PAS Perlis yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) menyaksikan kehadiran pimpinan utama parti serta tokoh veteran yang pernah mencurah jasa dalam perjuangan Islam di negeri ini.
Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu dihadiri Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Senator Baharuddin Ahmad serta Setiausaha PAS Negeri, Wan Hassan Wan Ismail dan Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Perlis, Cik Ani Hassan.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya menegaskan bahawa Assabiqun di peringkat negeri akan terus diperkasakan sehingga menjadi salah satu dewan rasmi dalam PAS.
“Alhamdulillah pada pagi ini saya hanya menyangka hadir mengikuti program, tidak tahu pula diminta untuk berucap. Saya melihat Assabiqun Perlis ini berpotensi menjadi Dewan Assabiqun PAS selepas ini, menjadi dewan bongsu dalam parti selepas DHPP,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang optimis cadangan tersebut akan dibincangkan dan berkemungkinan diluluskan dalam Muktamar PAS kali ini.
Dalam ucapannya, Mohd Shukri menyentuh catatan sejarah perjuangan PAS di Perlis sejak penubuhan parti pada 24 November 1952 dengan merujuk rekod lama calon-calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1955.
Antaranya Lebai Adnan Abdullah yang mendapat 1,344 undi namun tewas kepada Dato’ Mat Musa dengan beza 273 undi di Sanglang.
Begitu juga tokoh lain seperti Syed Kasim Syed Othman, Ghazali Muhammad, Tuan Guru Mohammad Rejab Mohamad dan Syafie Umar yang pernah bertanding mewakili PAS ketika itu.
“Lebai Adnan ni saya kenai la, Tok Long saya, dia duk Sungai Padang, Pesuruhjaya pertama Tuan Guru Haji Osman, Lebai Adnan ni Pesuruhjaya yang kedua, masa tu yang Dipertua.
“Jadi ni perjuangan orang dulu, tahun 1955, makna kata masa tu tak merdeka lagi dah ada dah PAS, PAS di Perlis ditubuhkan 24 November 1952 awai daripada Kelantan, yang pertama di Pulau Pinang dan inilah orang kata susur jalur perjuangan PAS ini,” katanya.
Mohd Shukri menyeru seluruh ahli PAS khususnya golongan Assabiqun agar terus memainkan peranan menggerakkan jemaah di cawangan masing-masing.
“Kita perlu pertahankan kerajaan yang ada hari ini. Harapan saya agar kita dapat menghilangkan badi kerajaan sepenggal seperti yang pernah berlaku di Terengganu dan Kedah. Insya-Allah dengan doa dan kerja kuat semua pihak, kita mampu buktikan Perlis mampu bertahan lebih lama,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perlis Inland Port (PIP) akan dirasmikan pada 10 Februari 2026 oleh Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Projek itu menurutnya akan membuka laluan perhubungan lebih murah ke Kunming, China serta pembangunan pelabuhan Sanglang (SIJ) selepas itu.
“Doakan supaya kita berjaya melaksanakan agenda ini, demi kesejahteraan rakyat Perlis dan kelangsungan perjuangan PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2025












