Mahu jaminan hak Kelantan terpelihara bawah Akta 672

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyatakan gembira dan tahniah atas perkembangan rundingan serta kerjasama positif yang hampir mencapai kata sepakat antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dalam isu pengurusan sisa pepejal.

Beliau berkata, isu pengurusan sisa pepejal sememangnya amat rumit dan kerjasama yang diusahakan diharap dapat menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit.

“Soalan saya, apakah penerimaan dan pelaksanaan Akta 672 oleh kerajaan negeri ini datang dengan jaminan daripada pihak kerajaan dan kementerian bahawa hak dan kepentingan negeri-negeri yang belum menerimanya seperti Kelantan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakyat akan sentiasa terjamin serta terpelihara di bawah akta tersebut,” soalnya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menteri Perumahanan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dalam jawapannya memberitahu, Akta 672 dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT berasaskan semangat federalisme Malaysia.

Menurutnya, tanggungjawab, kuasa dan pembayaran dilaksanakan secara bersama mengikut nisbah yang dipersetujui melalui rundingan, sebagaimana model yang telah diguna pakai lebih 10 tahun di negeri-negeri lain.

Tambahnya, KPKT mengalu-alukan semangat kerjasama semua negeri agar Malaysia kekal bersih dan rakyat terus sejahtera.

Nik Abduh dalam soalan asal meminta Menteri KPKT menyatakan apakah rangka pelan tindakan nasional Kementerian untuk menyelaras pengurusan sisa pepejal di semua negeri.

Ia menurutnya tanpa mengira status penguatkuasaan Akta 672 dan adakah terdapat rundingan, insentif atau kerjasama ditawarkan oleh pihak Kementerian kepada negeri-negeri yang masih belum memuktamadkan penerimaan dan pelaksanaan Akta 672.  – HARAKAHDAILY 8/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -