
KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Undang-Undang bagi diteliti semula sebelum diluluskan.
Beliau berkata, walaupun RUU berkenaan dilihat kukuh dari segi niat dan berpotensi membawa reformasi positif dalam sistem perolehan kerajaan, namun masih terdapat beberapa kelemahan yang menimbulkan kegusaran.
“Saya melihat peruntukan RUU ini memberikan kuasa yang terlalu luas kepada Menteri Kewangan. Menteri mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad, termasuk dalam keadaan di mana lembaga gagal mencapai kata sepakat.
“Menteri juga boleh mengecualikan kontrak tertentu daripada terikat dengan peraturan yang ditetapkan. Walaupun mungkin niat menteri yang ada sekarang adalah baik, undang-undang ini bukan digubal untuk seorang individu sahaja.
“Tetapi untuk digunakan pada masa depan oleh sesiapa sahaja yang memegang jawatan menteri. Kuasa yang tertumpu kepada seorang individu tanpa kawalan yang mencukupi boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa.
“Malah boleh mencetuskan persepsi rakyat bahawa reformasi ini hanyalah retorik, sedangkan kuasa sebenar masih bersifat mutlak di tangan seorang,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Negara hari ini.
Wan Martina turut menyifatkan mekanisme semak imbang yang diperkenalkan menerusi Panel Kajian Semula dan Tribunal Rayuan Perolehan masih longgar.
“Memang benar wujud Panel Kajian Semula dan Tribunal Rayuan Perolehan, tetapi sejauh mana badan-badan ini benar-benar bebas? Jika lantikan ahli panel masih ditentukan oleh eksekutif, jika keputusan mereka boleh diketepikan, maka keberadaan panel ini hanyalah hiasan.
“Kita tidak mahu mekanisme semak imbang yang sekadar kosmetik, yang hanya memberikan ilusi ketelusan tetapi hakikatnya tidak mampu menandingi kuasa seorang menteri,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, penglibatan awam dalam proses penggubalan RUU juga amat terhad, sedangkan perolehan kerajaan melibatkan dana rakyat bernilai berbilion ringgit setiap tahun.
“Reformasi tanpa keterlibatan rakyat hanyalah separuh jalan, dan akhirnya akan menimbulkan keraguan serta rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat. Dalam isu perolehan kerajaan, persepsi rakyat adalah sama penting dengan realiti pelaksanaan.
“Walaupun kerajaan mungkin berusaha mewujudkan peraturan baharu yang lebih telus, tetapi jika undang-undang ini dilihat sebagai memberi terlalu banyak kuasa kepada seorang menteri, mekanisme semak imbang pula tidak bebas dan rakyat tidak dilibatkan, maka keyakinan awam akan terhakis.
“Tanpa keyakinan rakyat, apa juga reformasi yang digubal akhirnya akan gagal kerana rakyat merasakan ia tidak benar-benar melindungi kepentingan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2025











