
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis sedang meneliti cadangan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang baharu berhampiran sempadan Thailand.
Ia sekali gus membuka peluang menarik pengguna dari negara jiran itu bagi meningkatkan kapasiti serta kelangsungan operasi penerbangan di negeri ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, cadangan itu selaras dengan titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebelum ini.
Baginda menekankan kepentingan lokasi strategik berhampiran sempadan antarabangsa bagi memastikan projek tersebut memberi manfaat maksimum.
Menurut beliau, hasrat besar itu menjadi sebahagian daripada pelan pembangunan negeri di bawah Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040 yang sedang dikaji semula.
Selain itu jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang tersebut, rancangan itu turut disokong dengan aspirasi Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030.
“Kalau tengok dalam perancangan kita memang ke arah itu, Insya-Allah. Seperti yang disarankan (dititah) Tuanku Raja Muda. Lokasi sempadan dengan Thailand amat penting supaya kita dapat ambil pengguna-pengguna dari sana.
“Juga dapat menarik ramainya pengguna ‘airport’ kita,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis berkenaan di Dewan 2020, di sini baru-baru ini.
Mohd Shukri berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang itu adalah antara projek infrastruktur strategik sedang dirangka untuk melonjakkan daya saing ekonomi negeri, khususnya dalam sektor pelaburan, pelancongan dan perdagangan rentas sempadan.
“Ini hasrat kita yang sangat besar, boleh dilaksanakan. Sama ada komersial atau pelaburan, kedua-duanya berpotensi. Malah, kita juga melihat ia mampu menampung pesawat bersaiz sederhana seperti Boeing 737,” ujar beliau.
Mohd Shukri menegaskan, perancangan jangka panjang ini perlu dilihat sebagai pemangkin utama bagi memperkukuh kedudukan Perlis sebagai pintu masuk utama di utara Semenanjung.
Lapangan terbang ini bukan hanya soal kemudahan penerbangan, tetapi juga menjadi simbol aspirasi negeri kecil seperti Perlis yang mahu bergerak ke arah pembangunan lebih besar.
Di tambah dengan lokasi strategik, ia sekaligus berupaya memberi kesan limpahan ekonomi yang luas kepada negeri dan rakyat. – HARAKAHDAILY 8/9/2025











