
KUALA LUMPUR: Prof Madya Dr Mohd Mazri Yahya menegaskan bahawa isu ‘ketepuan’ dalam PAS hanyalah persepsi yang tidak benar, sebaliknya parti itu masih mempunyai ruang besar untuk terus berkembang dalam landskap politik negara.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berkata, hujah yang sering dibawa seteru politik dan pemerhati luar bahawa PAS sudah mencapai tahap maksimum dan tidak mungkin menambah sokongan hanyalah sebuah falasi.
“Bayangkan sebuah balang kosong. Pertama, kita masukkan batu-batu besar. Nampak penuh, seolah-olah tiada lagi ruang. Sudah tepu kelihatannya. Tetapi bila kita tuangkan kerikil, ia masuk mengisi ruang di antara batu.
“Masih nampak padat dan tepu, tetapi ruang kecil masih wujud. Apabila kita tambah pasir halus, ia menyusup masuk ke celah-celah yang lebih rapat, dan barulah balang itu benar-benar terisi.
“Analogi ini jelas, ketepuan hanyalah persepsi. Apa yang disangka penuh, sebenarnya masih ada ruang untuk diisi dengan lapisan-lapisan lain. PAS, dalam konteks politik negara, sedang melalui proses yang sama,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Dr Mohd Mazri berkata, batu besar yang diisi terlebih dahulu dalam balang itu mewakili tapak asas PAS iaitu pengundi tradisional, terutamanya di kawasan majoriti Melayu-Islam.
Menurutnya, sokongan mantap itu tidak bermakna ruang untuk berkembang sudah tertutup kerana kerikil pula melambangkan generasi muda dan segmen masyarakat yang mula mendekat dengan PAS hasil faktor media sosial, isu kos sara hidup dan kekecewaan terhadap parti lain.
“Akhir sekali, pasir halus mewakili sokongan dari segmen bukan teras, profesional bandar, masyarakat minoriti yang mencari alternatif politik stabil, dan kelompok apolitikal yang hanya mahukan pentadbiran lebih bersih.
“Mereka ini adalah partikel halus yang masih boleh mengisi balang, menyempurnakan gambaran bahawa PAS belum tepu, malah baru bermula.
“Ketika ada pihak cuba menempelkan naratif ketepuan, realitinya PAS masih berada pada fasa pengembangan. Balang perjuangan belum penuh, hanya sedang berproses daripada batu besar kepada kerikil, dan kini menunggu pasir halus menyusup masuk,” terangnya.
Beliau menegaskan, naratif ‘ketepuan’ hanya wujud apabila melihat balang perjuangan dari permukaan tanpa menyedari ruang yang masih terbuka.
“Bagi PAS, perjuangan bukan sekadar soal kuantiti undi diperoleh, tetapi soal bagaimana setiap lapisan masyarakat boleh diisi dalam balang sama, dengan matlamat satu, membina wadah politik yang lebih kukuh, tersusun, dan relevan.
“Justeru PAS belum tepu tetapi ia baru sahaja bermula,” katanya kepada reaksi laporan media tempatan bahawa PAS didakwa berdepan keadaan ‘tepu’ kerana kepimpinan parti tidak berubah sejak sekian lama.
Pensyarah Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub dilaporkan berkata, situasi itu menyebabkan PAS kehilangan idea baharu dan strategi segar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Beliau menjelaskan, keadaan itu juga boleh menjauhkan sokongan anak muda, khususnya pengundi atas pagar. – HARAKAHDAILY 8/9/2025











