Perlu sedia ubah pendekatan tanpa gadai asas parti

- Advertisement -

BENTONG: PAS sebagai sebuah gerakan Islam kontemporari paling berpengaruh perlu sentiasa mendekatkan diri kepada dan tidak sesekali terjebak dengan budaya politik gelojoh dan kerusi hingga tersungkur dari niat asal perjuangan.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah berkata, pendekatan mungkin akan berubah-ubah mengikut waqi’ terutama dalam proses membina wajah parti dan menyaingi lawan, tetapi tiang seri perjuangan tidak boleh berubah.

Menjelaskan maksudnya, beliau menegaskan tiga pasak utama PAS iaitu tarbiah, dakwah dan siasah perlu sentiasa seiring serta menjadi pemandu arah dalam merangka gerak kerja parti secara berterusan dan penuh komited.

“Kita bukan batu atau mesin buatan. Kita adalah jentera manusia. Oleh sebab kita adalah jentera manusia, kita dikurniakan akal yang waras untuk menimbang buruk dan baik.

“Kita ada roh yang hidup, ada hati dan jiwa yang secara fitrahnya hati yang baik ini cenderung ke arah kebaikan, nak buat benda baik. Sebab itu dalam PAS ada tarbiah, ada kuliah ilmu, ada pengisian rohani, tujuannya apa?

“Tujuannya nak didik, nak pandu dan ‘jaga’ hati kita agar tidak tersasar dengan keinginan yang bukan-bukan, kita buat kerja perjuangan ini kerana Allah, kita nak bantu masyarakat hidup dipandu agama.

“Hati dan jiwa manusia ni milik Allah. Tugas kita seru, sampaikan, tunjuk teladan yang baik-baik, buat benda yang baik-baik, di hujungnya nanti, terpulanglah pada Allah nak ‘hogoh’ pintu hati pengundi di Bentong ni,” ujarnya.

Beliau berkata demikian usai membentang ucaptama bertajuk ‘Hala Tuju PAS Bentong Ke Arah PRU16′ di dalam Permukiman PAS Kawasan Bentong berlangsung di La’ Man Tokki, Kampung Lebu, di sini baru-baru ini.

Khairuddin menyentuh komitmen terhadap asas tersebut diusia kematangan 41 tahun PAS Bentong di mana turut berdepan cabaran besar fenomena masyarakat kini yang sejajar perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Hal ini ujarnya, sedikit sebanyak menjadi gangguan halus terhadap sistem simbiosis hidup manusia serta cara berfikir masyarakat khususnya generasi muda dan ia boleh memberi impak besar dalam jangka masa panjang jika tidak ditangani dengan baik.

“Saya menyebut perkara di atas sebagai persediaan pimpinan PAS Bentong untuk memahami jiwa dan psikologi mad’u. Kadang, ‘approach’ betul, sasaran tak tepat.

“Ibarat orang main bola, ada posisi namanya ‘fullback’. Tugas dia melindungi bahagian sayap padang serta menghalang hantaran lintang lawan. Kadang-kadang, ‘fullback’ ni jadi penyerang, kadang-kadang hanya duduk bertahan, begitulah lebih kurang.

“Makanya, nak tak nak, suka tak suka, kita yang jadi pemimpin ni kena rajin, hadir kuliah, ijtimak tarbawi, lengkapkan diri dengan ilmu termasuk ilmu pengurusan jiwa manusia,” ujar beliau yang mesra dipanggil Cikgu Din.

Beliau berharap permukiman anjuran Lajnah Pemerkasaan Parti tersebut berjaya menjelmakan semangat bekerja sebagai satu pasukan berpandu ‘road map’ yang dirancang bagi tempoh dua tahun ke depan khususnya menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

“Bentong ni pintu gerbang Pantai Timur, maka PAS Bentong secara tidak langsung berperanan besar duduk di bahagian ‘frontliner’, semoga kita mampu menyumbang sekurang-kurangnya satu kerusi, jadilah, ‘kerusi jagar pintu masuk’, insya-Allah,” ujarnya.

Khairuddin melahirkan optimis PAS Bentong mampu menjadi sebahagian ‘pemberi sumbangan’ kemenangan kepada Perikatan Nasional di Pahang pada PRU16 kelak. – HARAKAHDAILY 3/9/2025

- Advertisement -