Netball Challenge 2.0: Semangat sukan, Merdeka

- Advertisement -

KANGAR: Kejohanan Merdeka Netball Challenge Piala Isteri YAB Menteri Besar Perlis 2025 berlangsung meriah dengan penuh semangat kesukanan dan kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

- Advertisement -

Majlis berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli bersama isteri beliau, Najwa Othman di sini Sabtu lepas.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri, Datin Marzita Mansor dan Ahli Dewan Negara, Senator Baharuddin Ahmad, dalam kejohanan penuh saingan sihat itu, pasukan yang berjaya merangkul kejuaraan diraikan dengan penuh bergaya.

Bagi pasukan yang belum beroleh kemenangan, mesej semangat terus ditiup agar bangkit mencuba lagi pada tahun-tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Badariah Wan Saad turut hadir menyaksikan kejohanan.

Beliau berkata, penganjuran pertandingan seperti ini bukan sahaja mengangkat bakat dalam sukan, malah menjadi wadah terbaik untuk menyemai ukhuwah, membina gaya hidup sihat dan memperkukuh semangat kemerdekaan.

“Yang paling utama, semua pasukan telah menunjukkan semangat juang, ukhuwah dan nilai kesukanan yang tinggi. Inilah semangat sebenar Merdeka, bersatu hati, kuat berusaha dan pantang menyerah kalah,” ujar beliau.

Lebih istimewa, kejohanan ini juga menjadi medan pertemuan semula rakan-rakan lama yang pernah sama-sama beraksi di gelanggang bola jaring, sekali gus mengimbau kenangan persahabatan sangat berharga.

Tahniah dan penghargaan turut dirakamkan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian serta pihak penganjur kerana berjaya merealisasikan kejohanan bermakna ini.

Mereka mengharapkan Merdeka Netball Challenge dapat diteruskan pada masa hadapan demi melahirkan masyarakat yang sihat, cergas dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 3/9/2025

- Advertisement -