Perlis perkasa warga emas, sumber ilmu generasi muda

- Advertisement -

PADANG BESAR: Kerajaan Negeri Perlis menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa peranan warga emas dalam masyarakat dengan mengiktiraf mereka sebagai sumber ilmu, pengalaman dan inspirasi buat generasi muda.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, usaha tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Seminar Citra Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Durani, Alor Sena, di sini Jumaat lepas.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, kesejahteraan sosial dinikmati rakyat hari ini merupakan hasil titik peluh generasi terdahulu yang kini bergelar warga emas.

“Kerajaan negeri berpegang kepada obligasi sosial untuk menyediakan persekitaran kondusif agar golongan ini dapat menua secara aktif, produktif dan sihat.

“Warga emas mempunyai pengalaman luas, dan aktiviti intergenerasi seperti ini mampu merapatkan jurang, mengeratkan silaturahim serta memberi pendedahan kepada golongan muda,” katanya ketika merasmikan seminar berkenaan.

Dalam ucapannya, Mohd Shukri turut menarik perhatian terhadap unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa negara akan mencapai status ‘negara tua’ menjelang 2030 apabila populasi warga emas mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Pada tahun 2022 sahaja, Malaysia mencatatkan 3.6 juta warga emas (11 peratus), manakala Perlis merekodkan kadar lebih tinggi iaitu 12.2 peratus.

“Ini adalah realiti yang mesti kita tangani dengan dasar dan program yang jelas,” ujarnya pada seminar yang telah dianjurkan sejak enam tahun lalu itu.

Ia menjadi platform penting menghubungkan warga emas dengan belia dan kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti seperti ‘sound of music’, fisioterapi, mewarna batik serta penyediaan hidangan tradisi.

Aktiviti ini katanya, adalah usaha menanam kembali nilai hormat-menghormati yang semakin terhakis dalam masyarakat moden di mana dalam majlis itu, Menteri Besar turut mengumumkan penubuhan PAWE @ 3A.

“Melalui konsep baharu ini, aktiviti warga emas tidak lagi terikat dengan premis khusus, sebaliknya boleh dijalankan di mana-mana sahaja,” jelasnya terhadap program Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) @ Anytime, Anywhere, Anyplace (3A) yang diluluskan tahun ini.

Seminar berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis dengan kerjasama PAWE Durani, sekali gus menjadi sebahagian strategi pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara yang menekankan penglibatan serta kesepaduan antara generasi. – HARAKAHDAILY 3/9/2025

- Advertisement -