
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan membantah keras cadangan MCA yang menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya, berkata PAS Wilayah Persekutuan menegaskan pendirian menolak cadangan berkenaan atas beberapa faktor utama.
Beliau berkata, antara sebab penolakan adalah kerana langkah itu bakal membuka ruang politisasi dan dominasi kaum di bandar.
“Sejarah telah membuktikan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan pernah menimbulkan ketegangan kaum serta ketidakseimbangan representasi masyarakat bandar.
“Cadangan MCA ini hanya akan membuka semula ruang polarisasi kaum, khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur yang mempunyai komposisi penduduk majmuk,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, faktor kedua ialah kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi Wilayah Persekutuan sedia ada sudah memadai.
“Dengan adanya Ahli Parlimen, Datuk Bandar serta kementerian khusus (Kementerian Wilayah Persekutuan), suara rakyat telah pun disalurkan.
“Mekanisme sedia ada seperti mesyuarat penduduk, Rukun Tetangga, persatuan penduduk serta Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) sudah mencukupi untuk menyalurkan aspirasi rakyat tanpa perlu menambah lapisan politik baharu,” jelasnya.
Beliau berkata, PAS Wilayah Persekutuan berpandangan pilihan raya tempatan hanya akan menambah beban kos serta menimbulkan ketidakstabilan.
“Mengadakan pilihan raya tempatan akan memerlukan peruntukan besar, sedangkan bajet negara kini lebih wajar difokuskan kepada menangani kos sara hidup, perumahan, kesihatan dan pendidikan rakyat.
“PAS Wilayah Persekutuan berpandangan cadangan MCA ini lebih berbau kepentingan politik parti tertentu berbanding keperluan rakyat sebenar,” tempelaknya.
Selain itu terangnya, terdapat juga risiko tadbir urus yang tidak stabil sekiranya pilihan raya itu dilaksanakan.
“Dengan memberi ruang kepada pihak tertentu menguasai Dewan Bandaraya atau majlis tempatan melalui pilihan raya, ia berpotensi mewujudkan percanggahan dasar antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan tempatan, sekali gus melumpuhkan kelancaran pentadbiran bandar raya,” ujarnya.
Ustaz Azhar berkata, PAS Wilayah Persekutuan turut menegaskan agar fokus diberikan kepada isu sebenar rakyat, bukan agenda politik sempit.
“PAS Wilayah Persekutuan menyeru semua pihak termasuk MCA agar menumpukan perhatian kepada isu sebenar rakyat bandar antaranya kesesakan lalu lintas, rumah mampu milik, kebersihan, keselamatan awam.
“(Ia termasuk) peluang pekerjaan serta tekanan kos sara hidup berbanding menghidupkan agenda politik lama yang tidak lagi sesuai dengan realiti semasa,” serunya.
Sehubungan itu, beliau berkata PAS Wilayah Persekutuan berpendirian cadangan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan adalah langkah mundur, membazirkan sumber dan hanya menguntungkan pihak politik tertentu.
“Kami menggesa kerajaan untuk menolak sebarang usaha menghidupkan semula undi ketiga, dan sebaliknya memperkukuh mekanisme sedia ada supaya suara rakyat bandar terus didengar tanpa perlu menambah ketegangan politik yang tidak perlu,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan MCA Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi memperkukuh tadbir urus serta memberi kuasa kepada penduduk menentukan kepimpinan setempat.
Mereka dilaporkan menegaskan ketiadaan wakil tempatan menyebabkan isu rakyat terabai, sementara DBKL membelanjakan RM2.835 bilion tanpa kawal selia oleh pemimpin yang dipilih rakyat.
MCA turut dilaporkan mencabar DAP menunaikan janji sejak 1968 dan mendesak kerajaan segera menetapkan garis masa pelaksanaan reformasi itu. – *HARAKAHDAILY 3/9/2025*











