Kerajaan tergesa-gesa mahu lulus RUU URA dipersoal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi mempersoalkan tindakan kerajaan yang dilihat terlalu beria-ia mahu meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Pengarah Jabatan Penerangan Polisi dan Dasar Sektor Komunikasi Strategik Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata, terdapat banyak masalah paling asas dalam sektor perumahan negara masih belum diselesaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura Terengganu itu berkata, termasuk isu unit rumah tidak terjual (unsold housing) yang masih tinggi di seluruh negara merangkumi projek perumahan kos sederhana dan mewah.

“Pada masa sama rakyat berpendapatan rendah pula masih terbeban dengan isu keterjangkauan (affordability). Seharusnya KPKT fokus selesaikan ketidaksepadanan penawaran dan keperluan sebenar sebelum mengusulkan RUU baharu yang penuh kontroversi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, berhubung usaha kerajaan untuk meluluskan segera RUU URA.

Mengulas mengenai ambang persetujuan yang ditetapkan dalam RUU itu, beliau membidas URA yang hanya memerlukan 75 peratus kelulusan untuk kediaman lebih 30 tahun dan 80 peratus bagi kediaman berusia 15 tahun.

Menurutnya, perkara itu bermakna suara 20 hingga 25 peratus penduduk boleh diketepikan, sekalipun mereka mungkin kumpulan yang paling terkesan.

“Bagaimana nasib warga emas, orang kurang upaya, atau keluarga miskin yang enggan berpindah kerana tiada alternatif lain?

“Adakah suara minoriti, Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Hak Milik Strata tidak lagi bernilai dalam negara yang kononnya mengangkat prinsip Madani?” soalnya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap kuasa terlalu besar yang diberikan kepada Menteri melalui RUU berkenaan.

“Antaranya, Menteri boleh menentukan kawasan mana yang akan diisytiharkan sebagai zon ‘renewal’ (pembaharuan). Menteri (juga) boleh mengarahkan pelaksanaan meskipun wujud bantahan sebahagian besar penduduk,” bidasnya.

Tegasnya, hal ini bercanggah dengan semangat federalisme, hak negeri dan prinsip keluhuran Perlembagaan, serta menyatakan bahawa keseluruhannya RUU URA itu lebih menguntungkan pemaju berbanding rakyat biasa.

“Jika benar kerajaan ikhlas mahu memperbaharui bandar lama, lakukan melalui libat urus telus, pelan induk perumahan menyeluruh, dan perlindungan kukuh terhadap hak pemilik asal.

“(Ia) bukan dengan akta tergesa-gesa dengan pemusatan kuasa yang begitu besar di tangan seorang menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -