Jalur Gemilang satukan diaspora Malaysia di Dubai

- Advertisement -

DUBAI, UAE: Semangat patriotik rakyat Malaysia di perantauan terserlah apabila lebih 200 warga Malaysia yang menetap di Dubai dan Emiriah Utara berhimpun dalam program Sambutan Malam Merdeka 2025 anjuran Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai pada 30 Ogos lalu.

- Advertisement -

Acara yang berlangsung di Restoran My Square, Doubletree by Hilton, Business Bay, Dubai itu turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin dan Konsul Jeneral Malaysia Dubai, Mohd Fadly Amri Aliaman.

Juga pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, serta rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Malam Merdeka ini dirangka sebagai wadah menghimpunkan diaspora Malaysia di rantau Teluk bagi menzahirkan rasa kebersamaan, sekali gus menyalakan kembali api kecintaan terhadap tanah air.

Antara pengisian yang menyerikan majlis ialah laungan Merdeka, nyanyian Negaraku dan Jalur Gemilang, persembahan montaj kemerdekaan, kuiz sejarah tanah air, persembahan kebudayaan serta sesi fotografi bersama.

Suasana penuh mesra dan ukhuwah itu nyata memberi impak mendalam kepada yang hadir, memperkukuh rasa kekitaan serta menyemarakkan patriotisme.

Lebih istimewa, penganjuran kali ini turut disemarakkan dengan penggunaan Jalur Gemilang sumbangan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Penyerahan koleksi bendera tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat singgah di Dubai, bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Kurniaan penuh makna itu diterima oleh Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, Muhammad Imran Muhamad Sedek bersama Konsul Pejabat Pertanian Malaysia, Mohd Irfan Idrus.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Menurut kenyataan rasmi, Konsulat Jeneral Malaysia, dengan penuh takzim menjunjung kasih atas kurniaan tersebut yang disifatkan sebagai simbol perpaduan, kesetiaan dan kecintaan rakyat Malaysia terhadap tanah air, meskipun berada jauh di perantauan.

Penerimaan Jalur Gemilang ini bukan sahaja menjadi dorongan kepada warga perkhidmatan awam Malaysia di Dubai untuk terus menghayati erti kemerdekaan, malah memperkukuh peranan misi diplomatik sebagai wadah penyatuan dan penghubung identiti kebangsaan.

Dengan semangat kebersamaan yang terpancar melalui acara ini, terbukti bahawa walau di mana sahaja rakyat Malaysia berada, kecintaan kepada tanah air tetap utuh dan Jalur Gemilang terus berkibar megah sebagai tanda kesetiaan. – HARAKAHDAILY 2/9/2025

- Advertisement -