
KANGAR: Sejarah baharu dilakar dalam Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Perlis apabila dua entiti tonggak Pemuda PAS, iaitu Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMNPs) dan Alternative Riding Club (ARC) Perlis turut sama berarak memeriahkan suasana perbarisan Ahad lalu.
Program bermula seawal jam 7.00 pagi di laluan utama hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Kangar Jaya, dengan kehadiran pelbagai kontinjen jabatan kerajaan, agensi keselamatan, institusi pendidikan, persatuan dan NGO termasuklah Jabatan Amal dan ARC yang mendapat perhatian ramai.
Jabatan Amal yang sinonim dengan slogan ‘Beramal Kerana Allah’, bukan sahaja dikenali sebagai barisan sukarelawan PAS, malah telah terbukti berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.
Mereka sentiasa berada di barisan hadapan dalam misi kemanusiaan serta operasi bencana dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang bayaran.
Sementara itu, ARC Perlis yang membawa panji slogan ‘Riadah, Dakwah, Ukhuwwah’, tampil dengan kelainan apabila menghimpunkan anak-anak muda yang meminati dunia permotoran.
Aktiviti konvoi atau ‘ride’ mereka bukan sekadar hiburan, bahkan disemarakkan dengan kerja kebajikan serta dakwah ringan untuk mengajak anak muda bersama menabur bakti.
ARC sentiasa giat merancang pelbagai aktiviti mendekati golongan belia melalui pendekatan santai dan mesra anak muda.
Kehadiran kedua-dua kontinjen ini dalam perbarisan rasmi peringkat negeri menunjukkan keutuhan Pemuda PAS Perlis dalam mempelbagaikan pendekatan dakwah, khidmat masyarakat serta pengukuhan ukhuwah di peringkat akar umbi.
Menurut Ketua Pemudanya, Haziq Asyraf Dun, pendaftaran bagi menyertai Jabatan Amal dan ARC sentiasa dibuka kepada orang ramai, khususnya anak muda yang ingin terlibat dalam kerja kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan.
“Jom bersama Amal Perlis dan ARC Perlis, kita raikan semangat kemerdekaan dengan amal kebajikan,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri. – HARAKAHDAILY 2/9/2025













