
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memainkan peranan penting di ambang kemerdekaan Tanah Melayu. Sejak ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1951, tiga tokoh pimpinan utama yang memacu parti iaitu Almarhum Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Almarhum Dr Haji Abbas Alias (1953-1956) dan Almarhum Dr Haji Burhanuddin al-Helmi (1956-1969). Marilah kita menitipkan doa agar mereka sentiasa mendapat naungan Allah SWT atas segala usaha jihad memperjuang Islam dan kemerdekaan di tanah air tercinta ini. Sesungguhnya usaha mereka wajar dihayati sebagai suluhan inspirasi pada hari ini.
Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan adalah seorang ulama tegas dan berpengaruh dalam politik tanah air. Sebelum PAS ditubuhkan, beliau mengetuai Bahagian Agama UMNO. Selain menentang amalan loteri untuk mengumpul dana bangunan UMNO, beliau mencadangkan penubuhan persatuan ulama dan mempelopori beberapa siri Persidangan Ulama-Ulama Islam Peringkat Kebangsaan di Muar, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sehingga akhirnya menubuhkan PAS. Tegas beliau, “Maka tenaga yang begitu rupa hanya dapat diwujudkan dengan persatuan…Marilah kita (ulama) bentuk sebuah badan ulama untuk menebus darjat dan maqam ulama dan ahli-ahli agama serta pembela-pembela agama Islam.”
Perlu ditegaskan bahawa penubuhan PAS bermula pada tarikh 23 Ogos 1951 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. PAS bukan ditubuhkan oleh UMNO, sebaliknya ia merupakan cetusan para ulama menghayati perintah Allah SWT untuk menyeru manusia hidup bersama Islam, meneruskan kesinambungan perjuangan para rasul, lanjutan daripada kejatuhan Khilafah Islam dan susulan kebangkitan umat Islam setelah pengharaman Hizbul Muslimin melalui Ordinan Darurat 1948. Dalam tempoh dua tahun kepimpinan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, PAS telah mempunyai 20 buah cawangan hampir seluruh negara.
Apa yang menarik dalam orientasi perjuangan awal PAS ialah bagaimana Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan berusaha mewajahkan PAS sebagai sebuah parti berhaluan kanan yang boleh berunding dengan penjajah, tanpa perlu menzahirkan misi sebenar penubuhan negara Islam seperti yang berlaku di Indonesia dan India. Tindakan tersebut untuk mengelakkan opresi penjajah ke atas gerakan Islam. Namun, semangat kelantangan ahli-ahli PAS berbeza. Pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertama pada 1953, cawangan PAS mencadangkan agar tujuan PAS ditukar daripada, ‘berikhtiar menimbulkan cogan-cogan Islam’ kepada ‘berikhtiar melaksanakan hukuman-hukuman dan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan orang seorang, masyarakat dan negara menuju keredhaan Ilahi.”
PAS telah dijemput oleh Datuk Panglima Bukit Gantang pada 30 Mac 1953 untuk menyertai National Conference. PAS bersetuju kerana beberapa faktor utama antaranya menangani pergolakan politik nasional, memperjuang kemerdekaan dan menjalin hubungan kerjasama dengan parti politik bukan Islam. Setelah UMNO menarik diri daripada National Conference, PAS merupakan satu-satunya parti berbasis Melayu yang menganggotai inisiatif tersebut. Justeru, PAS bertekad tidak akan meminggirkan suara orang Melayu Islam. PAS menuntut kemerdekaan berdasarkan kedaulatan Islam dan menegakkan negara Islam.
Walau bagaimanapun, di akhir perjuangan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, beliau dan beberapa pemimpin lain meninggalkan PAS kerana gagal mempengaruhi Mesyuarat Agung Khas pada 26 September 1953 untuk terus menyokong National Conference yang dipimpin sahabat karibnya yang telah meninggalkan UMNO, Dato’ Onn Jaafar. Sebaliknya, majoriti ahli PAS yang diketuai oleh Haji Ahmad Badawi masih mahu bersama UMNO dan membawa PAS menyokong National Convention yang diketuai Tunku Abdul Rahman. Peralihan transisi kepimpinan daripada Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan kepada Dr Haji Abbas Alias pada 17 November 1953 mengubah sekali lagi orientasi perjuangan PAS.
Kepimpinan Dr Haji Abbas Alias lebih jelas dan inklusif. Beliau pernah ditawar memimpin UMNO Selangor tetapi menolak dan memilih bersama PAS. Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga di Parit Buntar telah meluluskan usul menghalang ahli menyertai UMNO dan parti lain. Tindakan ini menunjukkan bahawa hubungan PAS dan UMNO terputus. Keputusan itu menyebabkan tokoh-tokoh luar daripada Hizbul Muslimin menyertai PAS. Bukan sekadar itu, tokoh profesional lain seperti Prof Dr Ungku Omar (doktor), Haji Ahmad Abdullah Perai (korporat), Prof Dr Zulkilfi Mohamad (pensyarah), Aminuddin Baki (pendidik) termasuk tokoh-tokoh bangsawan dari Pahang dan Kelantan turut menyertai PAS.
Di bawah kepimpinan Dr Haji Abbas Alias, PAS telah berjaya didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan pada 31 Mei 1955, 15 hari sebelum penamaan calon bagi menghadapi pilihan raya negeri di Tanah Melayu. Manifesto yang digagaskan PAS merangkumi lima perkara iaitu politik, ekonomi, pendidikan, kebajikan dan ketenteraan. Akhirnya, PAS berjaya memenangi satu kerusi sahaja di peringkat Majlis Undangan Persekutuan iaitu di Krian melalui Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, manakala satu kerusi lagi di peringkat Majlis Undangan Negeri Perak melalui Mohd Kamal Ahmad di Kerian Barat.
Pada waktu ini, corak politik PAS cenderung berhaluan kiri. Beberapa tindakan PAS dilihat kritikal antaranya mahu menghapuskan jawatan Penasihat British, membantah pengaruh British dalam sektor ekonomi dan ketenteraan, mengetatkan syarat kewarganegaraan asing, hak-hak orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan Islam menjadi agama rasmi negara. Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS 1957 di Kuala Lumpur, PAS menolak Penyata Reid dan bertegas menuntut kemerdekaan disegerakan. Oleh sebab itu, PAS menyokong Rombongan Pilihan Raya ke London dan menyertai Pilihan Raya Umum 1955.
Dr Haji Abbas Alias seorang tokoh perubatan negara yang terkenal. Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Rombongan Perubatan Haji dan menjawat jawatan Ketua Pegawai Perubatan di Terengganu pada tahun 1956. Kedudukan profesional beliau menyebabkan kesukaran untuk memimpin parti disebabkan masalah logistik, perhubungan dan tuntutan pekerjaan di lapangan masyarakat. Akhirnya, terdapat usaha-usaha kecil yang digerakkan oleh tokoh PAS di peringkat negeri untuk memujuk Dr Haji Burhanuddin al-Helmy menyertai PAS secara rasmi dan seterusnya memimpin PAS.
Dr Haji Burhanuddin al-Helmy berkelulusan Sarjana Muda dan Sarjana Perubatan dalam Homeopati di New Delhi dan Sikandapur, kemudian melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam bidang Falsafah Islam di Aligarh Muslim University. Banyak kelulusan profesional yang dicapai seperti di London, Amerika Syarikat dan Canada. Latar belakang cemerlang dalam bidang homeopati termasuk di peringkat antarabangsa telah melayakkan beliau dilantik sebagai Professor of Homepathic Clinical Medicine oleh Hanneman’s Medical College of California dan profesor di Universitas Gajah Mada, Indonesia.
Orientasi kepimpinan Dr Haji Burhanuddin al-Helmy memecah persepsi kelompok pro Dato’ Onn Jaafar dan pro Tunku Abdul Rahman dalam PAS. PAS yang dipacu beliau mendukung semangat kebangsaan yang berpaksikan Islam. Banyak ucapan Dr Haji Burhanuddin yang menolak konsep perkauman sempit, menoktahkan pemikiran taasub, menyebelahi puak penjajah dan komunis atau sosialis. Dalam menghurai Falsafah Kebangsaan Melayu, beliau menjelaskan, “Dalam kita memperjuang kemerdekaan bangsa kita, kemerdekaan Melayu sekarang, pedoman kita al-Quran, jalan kita Sirat al-Mustaqim. Hendaknya tiap-tiap diri yang beriman itu, hendaklah menjadi angkatan pelopor kebangsaan hari ini, kebangsaan untuk kemerdekaan…”
Dr Burhanuddin al-Helmy sering mengangkasa gagasan kebangsaan bulat. Tidak berpihak kepada pihak penjajah mahupun pihak lain. Orang Melayu yang menuntut kemerdekaan dengan cita-cita kebangsaan Islam yang sebenar. Bahkan, beliau secara peribadi pernah mengetengahkan idea Melayu Raya sejak tahun 1945. Beliau menjadi Ketua Pengarang bagi akhbar Melayu Raya yang diterbitkan di Singapura, disusuli dengan penerbitan buku bertajuk Perjuangan Kita dan Falsafah Kebangsaan Melayu. Justeru, kepimpinan beliau yang menggantikan Dr Haji Abbas Alias dilihat selari untuk mengembangkan idea tersebut.
Kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Umum 1955 membolehkan pembentukan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh Tuanku Abdul Rahman. Beberapa siri rundingan telah dilakukan antara kerajaan dan pihak British. Suruhanjaya Perlembagaan telah dibentuk bagi merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diketuai oleh Lord Reid. Draf cadangan Perlembagaan telah dikemukakan kepada orang awam pada bulan Februari 1957. Banyak pandangan dikemukakan termasuk daripada PAS. Satu rapat umum anjuran PAS telah diadakan di Padang Malaya, Kuala Terengganu pada bulan Mac 1957.
Dr Haji Burhanuddin al-Helmy menyampaikan ucapan dan menegaskan pendirian PAS iaitu syor-syor yang terdapat Suruhanjaya Reid merugikan orang Melayu. Nama bangsa Melayu dan agama Islam telah dihapuskan. Kemudian, PAS mengutuskan sebuah memorandum yang merangkumi beberapa perkara iaitu menentang penggubalan Perlembagaan daripada pihak luar, menentang pemberian kerakyatan secara jus soli, hak negara Melayu dan orang Melayu, kedudukan sultan-sultan Melayu, ekonomi dan kebudayaan Melayu serta agama Islam.
Oleh kerana PAS dan sekutu politik tidak berpuas hati dengan tindakan UMNO, maka Kongres Melayu Kedua telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada Mei 1957. Kongres yang dipengerusikan oleh Dr Haji Burhanuddin al-Helmy turut diganding dengan Dato’ Onn Jaafar dan Ahmad Boestamam. Resolusi kongres diserahkan kepada rombongan kemerdekaan ke London tetapi ditolak. Justeru, usaha PAS dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu amat penting dan besar. PAS bukan parti serpihan dalam politik negara, bahkan berjaya mengemukakan aspirasi jitu berasaskan Melayu dan Islam.
Kesimpulannya, tiga pesona tokoh utama PAS telah berjaya mengemudi PAS dari fasa awal hingga ambang kemerdekaan. Mereka merencana gerakan PAS berdasarkan perkembangan politik semasa tanpa meminggirkan dasar dan halatuju menubuhkan sebuah negara Islam yang berdaulat dan bebas merdeka. Ketokohan mereka dikagumi kawan dan lawan. PAS memacu kedinamikan gerakan meski bergelut dengan pelbagai masalah dalaman dan luaran. Paling penting ia bukan sebuah parti politik kampung dan jumud sebaliknya sebuah parti Islam di persada nasional yang didukung oleh segenap lapisan masyarakat.
MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Putrajaya – HARAKAHDAILY 31/8/2025











