Perutusan Hari Kebangsaan 2025 Presiden PAS

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, pada hari yang penuh bersejarah ini kita kembali mengenang perjuangan panjang bangsa dan tanah air yang telah dijajah berabad lamanya. Bermula dari jatuhnya Melaka ke tangan Portugis, kemudian Belanda dan Inggeris, umat Islam kehilangan kuasa memerintah sendiri, digantikan dengan sistem yang memperhambakan manusia sesama manusia.

- Advertisement -

Islam datang membawa erti kemerdekaan sebenar, membebaskan manusia daripada tunduk kepada hawa nafsu dan ciptaan sesama makhluk, untuk kembali menjadi hamba Allah yang Esa. Inilah fitrah yang sebenar dan inilah kebebasan yang hakiki.

Walaupun laungan “Merdeka” telah berkumandang, hakikatnya penjajahan belum benar-benar tamat. Pemikiran, pendidikan dan acuan yang diwariskan penjajah masih membelenggu anak bangsa kita. Kini kita berdepan dengan bentuk penjajahan baharu daripada kalangan bangsa sendiri yang mewarisi fahaman penjajah dan meneruskan legasi memperhambakan rakyat dengan cara yang lebih halus.

Kemerdekaan ini hanya akan sempurna apabila kita merdeka dalam seluruh aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan pemikiran. Acuan penjajahan mesti ditinggalkan dan diganti dengan acuan Islam yang adil, sejahtera serta menyelamatkan semua.

Hari ini marilah kita menegakkan kemerdekaan bersama Islam. Hanya dengan Islam bangsa Melayu akan selamat dan seluruh rakyat berbilang kaum dalam negara ini akan turut selamat, ibarat berada di dalam satu bahtera yang sama berlayar menuju kesejahteraan bersama.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2025.

ABDUL HADI AWANG
7 Rabiulawal 1447 bersamaan 31 Ogos 2025.- HARAKAHDAILY 31/8/2025

- Advertisement -