
KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Subang bimbang dan menolak Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang memberi kuasa terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk mengambil alih hartanah rakyat walaupun tanpa persetujuan mutlak pemilik asal.
Ketua Penerangan PAS Subang, Mohd Fadzlan Kadir berkata, RUU URA mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat kerana membuka ruang pengambilan tanah secara paksa atas nama pembangunan, sekali gus mengetepikan nilai sejarah, hak waris serta kebajikan penduduk.
Menurutnya, PAS Kawasan Subang berpandangan bahawa hak milik rakyat adalah amanah yang wajib dipelihara dan tidak boleh dikompromi atas nama kemajuan.
“Sebarang pelan pembaharuan mesti dijalankan melalui libat urus menyeluruh bersama pemilik dan komuniti setempat. Pembangunan yang adil harus mengutamakan prinsip keadilan sosial, bukan keuntungan pemaju.
“Kerajaan seharusnya menumpukan kepada naiktaraf kawasan sedia ada, bukan perampasan berstruktur,” ujarnya sehubungan itu menyeru seluruh warga Subang agar peka dan bersatu mempertahankan hak milik mereka.
Tangguh bacaan kedua RUU URA
Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang dalam pada itu menyatakan kebimbangan serius terhadap cadangan RUU URA yang dijadualkan untuk bacaan kedua di Parlimen esok.
Pengerusi Lajnah Tanah dan Alam Sekitar Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamad Razis Abdul Rahman berkata, RUU itu menimbulkan beberapa isu utama yang perlu diberi perhatian segera.
Katanya, antara isu berbangkit ialah percanggahan dengan Kanun Tanah Negara (KTN), pencabulan Perlembagaan Persekutuan dan percanggahan dengan undang-undang sedia ada.
“Berdasarkan taksiran, kandungan RUU URA bercanggah dengan peruntukan dalam KTN yang secara jelas meletakkan bidang kuasa tanah di bawah Pihak Berkuasa Negeri.
“Hak milik tanah adalah dijamin oleh Perlembagaan dan tidak boleh dilucutkan sewenang-wenangnya. (Namun), RUU ini memberi kuasa berlebihan kepada Menteri, sekali gus menjejaskan kuasa Raja-raja atau TYT (Tuan Yang Terutama) Negeri, dan dalam konteks Wilayah Persekutuan ialah Yang di-Pertuan Agong.
“(Selain itu, terdapat) elemen percanggahan ketara dengan Akta Pengambilan Tanah dan Akta Hak Milik Strata yang mengawal selia pengambilan tanah serta pemilikan hartanah,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan serta mencadangkan agar bacaan kedua ditangguhkan ke Sidang Parlimen Oktober bagi membolehkan semakan semula secara menyeluruh dilakukan.
“Ini penting kerana masih terdapat perkara pokok yang belum memuaskan hati jawatankuasa, termasuk isu perundangan dan perlembagaan yang berisiko menjejaskan hak pemilik tanah,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025











