
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada setiap 20 persatuan mahasiswa anak Kedah yang berada di universiti dalam dan luar negara, sebagai penghargaan dan galakan kepada generasi muda.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyayangi dan menghargai anak-anak muda sebagai aset penting dan bernilai untuk masa depan negeri.
”Bagi memberi penghargaan kepada seluruh mahasiswa anak Kedah, kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada setiap 20 persatuan mahasiswa anak Kedah di universiti dalam dan luar negara.
“Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan bagi tujuan ini adalah RM60,000,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Bakti Siswa Perdana Negeri Kedah 2025, di sini semalam.
Program Bakti Siswa pada tahun ini diperluaskan dengan penyertaan seramai 1,500 orang peserta yang diadakan serentak di 36 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam ucapannya, Muhammad Sanusi turut menyeru para mahasiswa agar menanam azam untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kebangkitan dan kejayaan Kedah, seterusnya mengangkat maruah negeri di mata dunia.
Beliau meletakkan harapan tinggi di bahu generasi muda untuk menjadi pemimpin yang lebih hebat pada masa akan datang.
“Generasi akan datang yang akan memerintah memimpin negeri ini mesti lebih hebat daripada semua yang ada di depan ini. Saya serahkan negeri ini pada masa depan di bahu anak-anak sekalian untuk dipimpin. Persiapannya mesti dibuat sekarang,” tegasnya.
Beliau turut menjadikan kejayaan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebagai contoh tadbir urus yang baik.
Menurutnya, kutipan zakat negeri telah meningkat secara mendadak daripada RM140 juta sebelum 2017 kepada RM350 juta pada tahun lepas.
“Allahlah yang membuka hati bila orang tengok bagusnya Lembaga Zakat punya kerja, agihan yang dibuat, pertolongan bantuan yang disampaikan.
“Maka saya yakin lebih ramai usahawan akan menjadikan Lembaga Zakat Negeri Kedah ni sebagai agensi untuk dibuat bayar zakat,” ujarnya.
Beliau berharap para mahasiswa dapat menimba pengalaman berharga dan mengutip mutiara ilmu sepanjang program Bakti Siswa dengan turun ke kampung-kampung dan belajar memahami denyut nadi masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/8/2025












