
KUALA LUMPUR: Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) menegur kerajaan selepas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 hari ini.
Beliau berkata teguran tersebut sebagai peringatan terhadap cadangan kerajaan terbaharu untuk menambah beban perbelanjaan negara dengan jumlah yang belum dapat ditentukan ketika ia sedang dibahas di Parlimen.
Dalam ucapan ketika perbahasan RUU bagi bacaan kedua juga, Wan Hassan turut menyuarakan kebimbangan beliau terhadap draf undang-undang tersebut yang bakal memberi kuasa tiada had kepada Menteri Kewangan.
“Apabila melibatkan perkara wang ini saya nak peringatkan sebelum saya masuk dalam perbahasan, wahai pemimpin, ingatlah setiap sen yang diambil dari rakyat akan ditanya jika tidak di dunia, pastinya dituntut di akhirat.
“Bukan (menjadi) beban bila diagihkan dengan adil, tetapi menjadi satu kezaliman bila diagihkan untuk tembolok sendiri,” katanya ketika menyertai perbahasan RUU Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam perbahasannya, Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun itu turut mempertikaikan kuasa pengecualian yang diberikan kepada menteri dan pihak berkuasa perolehan melalui fasal 28, 71 dan 32 adalah terlalu luas.
Beliau berkata, antara alasan yang digunakan adalah keterdesakan kepentingan awam boleh ditafsir mengikut selera sendiri biarpun undang-undang sepatutnya mengangkat tingggi prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Sepatutnya kata beliau lagi, setiap kali kuasa pengecualian yang digunakan ia mesti disertakan sekali bersama alasan kukuh dan direkodkan bagi memastikan aktiviti penipuan dan manipulasi fakta tidak berlaku.
“Kerana dalam soal yang melibatkan perkara berkaitan dengan apa yang diucapkan, kadang-kadang tidak boleh dipercayai kerana lidah tidak bertulang, apatah lagi kalau (ucapan) datangnya dari orang yang suka berbohong.
“Oleh itu mestilah dilihat kepada perkara yang benar, kerana ditanya kepada seorang alim apa tanda seseorang berbohong, lihatlah pada janji-janjinya, termasuk di audit Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











