Beri kuasa terlalu besar, terdedah konflik kepentingan

RUU Perolehan Kerajaan 2025

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 wajar melalui proses libat urus bersama semua pihak kerana ia memberi implikasi besar terhadap isu tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan.

- Advertisement -

“Saya gembira tetapi tetapi apabila ia dibawa secara tergesa-gesa dan tidak dibawa melalui sesi libat urus ini macam sesuatu sangat. Masjid Tanah menggesa Tan Sri Speaker untuk kita tangguh dulu rang undang-undang ini daripada dibentangkan.

“Bukan apa, saya juga gembira kalau sekiranya tatacara perolehan dapat dibuat dengan baik dan betul. Dengan adanya sesi libat urus, senang kerja PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara). Ini tidak asyik-asyik menghadap isu tadbir urus, ketelusan dan sebagainya.

“Asyik-asyik nak menghadap PAC, dapat surat layang, minta PAC siasat… pening kepala PAC,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, RUU berkenaan terlalu terdedah kepada konflik kepentingan serta membuka ruang luas kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kuasa mutlak yang diberikan kepada Menteri cukup besar. Contohnya, menteri boleh meluluskan kontrak mega tanpa had kewangan dan tidak terikat dengan syor lembaga perolehan.

“Saya sebagai Pengerusi PAC, amat bimbang dengan apa yang terkandung di bawah rang undang-undang ini. Bagaimana kita nak tahu? Bagaimana kita nak percaya, sekiranya tidak ada ‘check and balance’ jika kuasa dikunci hanya dalam satu tangan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan berhubung peruntukan yang memberi kuasa besar kepada pegawai penyiasat termasuk menggeledah, merampas dokumen dan data komputer walaupun tanpa waran.

“Ini seolah-olah memberi kuasa polis kepada pegawai perbendaharaan. Malah, seksyen tertentu juga mengehadkan kuasa mahkamah untuk memberikan ‘relief’. Kita melihat bahawa peruntukan ini melebihi kuasa yang terdapat dalam Kanun Tatacara Jenayah.

“Malah, boleh timbul keadaan di mana salah laku yang dilaporkan oleh pegawai perbendaharaan akhirnya disiasat oleh kementerian mereka sendiri. Ini jelas membuka ruang kepada konflik kepentingan yang ketara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menangguhkan RUU berkenaan dan membawanya terlebih dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan serta Ekonomi bagi mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Bukan kita tidak setuju, kita setuju untuk tambah baik. Tetapi bawa dulu ke jawatankuasa, dapatkan pandangan daripada kumpulan seperti Transparency International Malaysia, Rasuah Busters, IDEAS, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan Undi 18.

“Selepas itu barulah dibawa semula ke Dewan dengan penuh keyakinan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -