Pemusatan kuasa melampau Menteri Kewangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) memberi amaran keras bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang dibentangkan kerajaan berisiko mengulangi sejarah hitam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

- Advertisement -

Bekas Menteri Kanan Pendidikan dan juga Naib Presiden BERSATU itu berkata demikian kerana RUU tersebut disifatkan memberikan kuasa yang terlalu besar dan tidak terkawal kepada Menteri Kewangan.

​Tegasnya, RUU tersebut mahu diluluskan secara ‘bulldoze’ dalam tempoh singkat bukan sahaja cacat dari segi proses, malah membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa yang amat berbahaya kepada negara.

​Beliau turut memetik kenyataan Transparency International Malaysia yang menyifatkan tindakan meluluskan undang-undang sepenting itu dalam masa seminggu sebagai ‘melulu dan tidak boleh diterima’ (reckless and unacceptable).

​“Ini bukan kami cakap. Ini disebut oleh badan antarabangsa. Proses yang tergesa-gesa ini menyenyapkan perbahasan yang bermakna dan menjejaskan kredibiliti reformasi itu sendiri,” tegasnya membahas RUU itu di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

​Dr Radzi yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen mendedahkan bahawa RUU tersebut langsung tidak pernah dibentangkan atau dibincangkan di peringkat jawatankuasa, sekali gus mempersoalkan niat kerajaan tergesa-gesa mahu meluluskannya.

​“Apa yang nak dikejar sangat? Kami ingat apa Tan Sri Speaker kata nak perkukuhkan jawatankuasa pilihan, tetapi kami langsung tidak dibentangkan, tidak dijelaskan,” persoal beliau.

​Mengimbau kembali sejarah pahit 1MDB, Dr Radzi mengingatkan Dewan bahawa punca utama skandal tersebut adalah pemusatan kuasa melampau pada seorang individu yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serentak.

​Namun, beliau memberi amaran bahawa RUU ini memberikan kuasa kepada Menteri Kewangan yang disifatkannya ‘jauh lebih besar daripada Perdana Menteri’.

​Beliau merujuk Fasal 2(2) RUU tersebut yang membenarkan Menteri Kewangan, melalui warta, untuk mengecualikan mana-mana perolehan kerajaan daripada pemakaian akta ini.

​“Ini merupakan satu kuasa yang cukup luas, yang cukup besar. Tak kisahlah siapa jadi Menteri Kewangan. Kita dedahkan negara kita kepada keadaan yang cukup-cukup bahaya,” katanya.

​Dr Radzi turut mempersoalkan ketiadaan prinsip asas kawalan dalaman iaitu pengasingan tugas (separation of duties).

​“Kalau Menteri Kewangan yang luluskan hutang, Menteri Kewangan yang kutip cukai dari rakyat, Menteri Kewangan yang uruskan perbelanjaan, segalanya dekat mana ‘separation of duties’?” bidasnya.

​Selain itu, beliau menzahirkan rasa tidak masuk akal terhadap Jadual Pertama RUU yang menetapkan perolehan bernilai tinggi tanpa sebarang had siling diluluskan oleh seorang individu iaitu menteri, manakala perolehan bernilai lebih rendah diputuskan oleh sebuah lembaga.

​“Untuk perolehan barangan dan perkhidmatan lebih daripada RM50 juta dan untuk kerja lebih daripada RM100 juta, (diluluskan oleh) menteri. Tak ada siling. Di mana ‘internal control’?

​“Lebih membimbangkan, jika lembaga perolehan gagal mencapai kata sepakat, perkara itu dirujuk kepada menteri yang boleh membuat keputusan berlainan. Lagi kuasa menteri,” jelasnya.

​Turut dibangkitkan adalah ketiadaan peruntukan mengenai konflik kepentingan (conflict of interest) bagi menteri, sedangkan Fasal 125 secara jelas menetapkan ahli lembaga perolehan mesti menzahirkan kepentingan mereka dan tidak boleh terlibat dalam perbincangan.

​“Kalau ahli lembaga perolehan ada syarat, kalau menteri kat mana cara dia? Kat mana dalam akta ini kata kalau menteri ada ‘conflict of interest’, menteri tak boleh nak ‘proceed’?” soalnya.

​Justeru, Dr Radzi menggesa semua ahli parlimen, tanpa mengira parti, untuk mengetepikan politik dan bertanggungjawab terhadap masa depan negara.

​“Permintaan kami mudah, permintaan masyarakat sivil di luar sana mudah. Bawalah (RUU ini) ke jawatankuasa pilihan dan kita bincang elok-elok, kita teliti satu persatu.

​“Saya mohon Tan Sri Yang di-Pertua, berlaku adillah kepada generasi masa depan negara. Kerajaan perlu berlaku adil. Tangguhkan dahulu, bawalah ke jawatankuasa untuk kita bincangkan,” rayunya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -