
KOTA BHARU: Kelantan menegaskan penolakan sepenuhnya terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 dibentangkan di Dewan Rakyat, kerana jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mengganggu kuasa autonomi negeri.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendirian itu selari dengan negeri-negeri dalam kelompok SG4 iaitu Terengganu, Kedah dan Perlis yang bersama-sama membantah cadangan tersebut.
Tegas Dr Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan, RUU URA kerana membawa implikasi besar terhadap hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
“RUU ini jelas menimbulkan percanggahan dengan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada seperti Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang meletakkan urusan perancangan bandar di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya kepada media selepas mesyuarat dwi mingguan Exco di sini hari ini.
Beliau turut mempersoalkan tindakan tergesa-gesa membawa bacaan kali kedua RUU berkenaan walaupun Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah mengemukakan surat rasmi kepada Menteri agar bacaan ditangguhkan untuk penelitian menyeluruh.
“Kerajaan Negeri Kelantan berpandangan bacaan kali kedua RUU URA 2025 hendaklah ditangguhkan sehingga semua isu pokok diperhalusi dengan teliti,” ujarnya lagi.
Menurutnya, kerajaan negeri menegaskan segala bentuk pembaharuan undang-undang mestilah menghormati kedudukan Perlembagaan, memelihara kuasa autonomi negeri dan melindungi hak mutlak pemilik tanah.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, kebimbangan munasabah boleh dijadikan justifikasi bantahan kerana paling jelas bercanggah dengan akta sedia ada termasuk Kanun Tanah Negara.
“RUU ini wujud unsur paksaan terhadap rakyat apabila memberikan kuasa mutlak kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menyentuh Raja-raja di negeri serta Agong di Wilayah Persekutuan.
“Di peringkat negeri pula ia menjadi gangguan terhadap jaminan tanah Melayu di bawah kuasa negeri kerana melibatkan pertindihan kuasa negeri dan Raja-raja Melayu,” katanya.
Menurutnya Kelantan misalnya mempunyai kuasa mutlak dalam memberi milikan tanah terutama membabitkan hak rakyat negeri itu.
“Sebagai kerajaan yang masih memegang status Tanah Rizab Melayu paling tinggi di Malaysia, pertembungan dengan mewujudkan kuasa Persekutuan melebihi kuasa negeri dalam hak milik tanah dan RUU URA atas kepentingan pemulihan kawasan pembangunan bandar adalah suatu percanggahan dari sudut undang-undang,” ujarnya.
Katanya lagi, wujud kesan domino apabila sebahagian tanah dan penempatan di bandar mulai dikuasai oleh RUU berkenaan yang bakal mengundang implikasi lebih besar.
“Antara kebimbangan ialah kuasa negeri akan semakin terhimpit sehingga terpaksa menggadaikan Tanah Rizab Melayu dan hilang hak rakyat terutama melibatkan keistimewaan bumiputera yang akan terhapus satu persatu,” katanya.
Justeru katanya, Pemuda PAS Kelantan turut menyatakan kebimbangan terhadap perkara itu jika RUU URA dibentang dan diluluskan dalam sidang Parlimen kali ini.
Beliau menegaskan pihak kerajaan perlu meneliti secara menyeluruh selain pandangan semua pihak diambil termasuk mesyuarat Raja-Raja Melayu. – HARAKAHDAILY 27/8/2025












