RUU Perolehan 2025: Gesa ditangguhkan dan rujuk JKPK

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar menangguhkan dan merujuk Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Kewangan dan Ekonomi bagi membolehkan satu kajian menyeluruh dibuat bersama pihak berkepentingan.

- Advertisement -

​Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, walaupun RUU itu bertujuan baik untuk ‘mendisiplinkan’ Putrajaya dalam urusan perbelanjaan, kandungannya disifatkan berbahaya kerana memberikan kuasa budi bicara yang berlebihan kepada menteri.

​Beliau memetik pandangan pertubuhan masyarakat sivil seperti Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Rasuah Busters, IDEAS dan Transparency International Malaysia yang turut menyuarakan kebimbangan sama.

​“Gesaan daripada Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) agar RUU Perolehan Kerajaan ini ditangguhkan, menyifatkan kandungannya ketika ini berbahaya kerana memberikan kepada menteri budi bicara yang berlebihan.

“Juga ruang percanggahan kepentingan yang amat luas, sekaligus bertentangan dengan objektif RUU ini, iaitu meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

​Memulakan perbahasannya dengan memetik Surah Al-Isra’, ayat 29 mengenai larangan bersikap boros dan kedekut, Mohd Syahir menegaskan bahawa niat baik kerajaan mesti disusuli dengan tindakan yang baik.

​Beliau turut mempersoalkan kedudukan dasar keutamaan kepada syarikat Bumiputera yang dilihat tidak diperhalusi dengan jelas di dalam RUU tersebut.

​Menurutnya, RUU itu mesti menjamin bahawa dasar pembangunan Bumiputera terus menjadi sebahagian daripada ekosistem perolehan negara tanpa dikompromi oleh desakan pihak tertentu.

​“Persoalan utama di sini ialah bagaimana akta ini dapat menyeimbangkan antara keperluan memastikan keterangkuman Bumiputera dengan keperluan ketelusan dan tadbir urus yang baik?

​“Jika akta ini gagal menjawab persoalan tersebut, ia bukan sahaja melemahkan objektif ketelusan perolehan, tetapi turut membuka ruang polemik bahawa dasar Bumiputera menjadi mangsa kepada kelemahan pelaksanaan,” tegasnya.

​Beliau menyimpulkan bahawa RUU itu mesti digubal dengan ketegasan yang benar-benar menjamin integriti, bukan sekadar menjadi alat kosmetik untuk kerajaan mendabik dada telah melakukan reformasi.

​“Ia (akta ini) mesti gagal mencegah ketirisan, kronisme dan pemusatan kuasa yang sangat besar kepada Menteri, yang telah merosakkan perbelanjaan dan kewangan kerajaan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -