
KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membidas keras cara kerajaan membawa Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang menurutnya terlalu tergesa-gesa, sehingga menimbulkan persoalan terhadap integriti dan tatakelola Parlimen.
RUU mengandungi 93 fasal itu katanya, akan mengawal berbilion wang rakyat setiap tahun, namun proses pembentangannya dilakukan dalam tempoh hanya 15 hari sejak diserahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 12 Ogos lalu sehingga bacaan ketiga di Dewan Rakyat hari ini.
“Ia sangat pelik dan pada saya kelahiran RUU ini merupakan kelahiran songsang dan tak cukup bulan, perbandingan dengan RUU lain saya bandingkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal diumumkan ketika Belanjawan 2020.
“(Ia) dibawa ke dewan hampir setahun kemudian selepas konsultasi dengan International Monetary Fund (IMF), Bank Dunia, NGO dan pakar,” tegas beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.
Turut dipersoalnya kenapa RUU sepenting itu tidak dirujuk kepada jawatankuasa khas sedangkan yang lain seperti Akta Anti Lompat Parti, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta Akta SPRM pernah melalui proses perbincangan panjang, hingga ada lebih setahun.
“Kalau RUU Lompat Parti yang jauh lebih ringkas pun boleh dihantar ke jawatankuasa pilihan khas, kenapa RUU ini yang menyentuh berbilion dana rakyat tidak diberi ruang sama? Membawa RUU ini tanpa penelitian jawatankuasa khas adalah penghinaan terhadap Tan Sri Speaker sendiri,” katanya lagi.
Ahmad Fadhli turut mengkritik beberapa peruntukan yang menurutnya membuka ruang kuasa mutlak kepada menteri, sekali gus menafikan semangat reformasi tatakelola yang diuar-uarkan.
Beliau menyenaraikan, Seksyen 2(2), memberi kuasa kepada menteri untuk mengecualikan mana-mana program, projek atau individu daripada pemakaian akta ini hanya dengan satu perintah dalam warta.
Seksyen 24, kuasa mengecualikan kewajipan pendaftaran kepada mana-mana pihak dan Seksyen 31(2), kuasa menyingkirkan ahli tribunal atas alasan yang terlalu subjektif seperti ‘tidak sesuai untuk berkhidmat’.
“Jadi kita bincang banyak-banyak, tiba-tiba Menteri boleh untuk mengecualikan mana-mana program daripada pemakaian akta ini, apa maknanya, Menteri boleh kecualikan sesiapa, apa sahaja program atau projek daripada undang-undang ini dengan satu tandatangan.
“Keseluruhan undang-undang ini boleh dipintas, dulu saya pernah dengar Kota Raja berceramah, Najib cadang, Najib tanya, Najib lulus, Najib laksana.
“Sekarang saya bimbang takut perkataan itu sudah bertukar Tambun cadang, Tambun lulus, Tambun tanya, dan Tambun laksana,” ujar beliau merujuk kata-kata yang pernah diucap Datuk Seri Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) sebelum ini.
Peruntukan dalam RUU baharu dipersoal apabila kuasa penuh diberikan kepada Menteri Kewangan untuk melantik serta menyingkirkan ahli tribunal, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap aspek tatakelola yang baik.
Beliau turut menarik perhatian kepada Seksyen 31(2) yang memberi kuasa kepada menteri untuk menyingkirkan ahli tribunal atas pelbagai alasan termasuk bankrap, tidak siuman, disabitkan kesalahan jenayah atau jika pada pendapat menteri, ahli berkenaan berkelakuan tidak wajar.
“Kuasa untuk melantik tribunal dan menyingkir tribunal ini terletak sepenuhnya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan pada hari ini. Jadi ia sama sekali tidak berkaitan dengan soal tatakelola yang baik,” tegasnya.
Ahmad Fadhli menegaskan, konsentrasi kuasa sebegitu bercanggah dengan prinsip akauntabiliti serta ketelusan yang sepatutnya dipelihara dalam penggubalan undang-undang.
Bagi pihak pembangkang, beliau menggesa semua ahli Dewan menolak RUU tersebut serta menuntut agar ia dibawa ke Jawatankuasa Parlimen untuk penelitian lebih mendalam sebelum diluluskan.
“Dengan itu bagi pihak pembangkang pada hari ini, begitu juga saya dengar ucapan Puncak Borneo tadi, kita mengajak semua Ahli Dewan pada hari ini supaya kita menolak RUU ini dan mohon supaya dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen, saya mohon untuk tidak menyokong,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











