RUU URA 2025: PUTRA menentang habis-habisan

Penentangan total terhadap RUU URA

- Advertisement -

MINGGU lalu, saya telah mengecam keras Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Hari ini, PUTRA mara ke fasa kedua, bukan lagi sekadar kecaman, tetapi Deklarasi Politik. PUTRA secara rasmi menentang habis-habisan Urban Renewal Bill yang dibawa oleh Kerajaan Madani melalui menteri mereka, Nga Kor Ming.

1. URA adalah senjata moden mengusir rakyat miskin.

Urban Renewal Bill bukanlah undang-undang pembangunan rakyat. Ia adalah senjata moden pengusiran senyap yang memberikan kuasa luar biasa kepada pemaju untuk menghalau rakyat kecil dari bandar.

- Advertisement -

Dengan 75 peratus persetujuan (atau cukup 51 peratus jika bangunan diisytihar ‘tidak selamat’), suara minoriti dipijak, hak rakyat sah dilenyapkan.

Hari ini flat kos rendah jadi mangsa. Esok kampung tradisi dan tanah pusaka pula terancam.

Urban Renewal akhirnya menjadi Urban Removal, satu pengkhianatan yang merompak maruah rakyat miskin di bandar atas nama pembangunan.

2.Nga Kor Ming dan Kerajaan Madani merupakan ancaman kepada kehidupan rakyat

PUTRA mahu rakyat sedar bahawa dasar ini bukan untuk marhaen, tetapi untuk kelompok elit berduit.

Kerajaan Madani berselindung di sebalik slogan ‘kemakmuran rakyat’, tetapi realiti menunjukkan wajah sebenar:

• Bandar jadi syurga orang kaya.

• Rakyat miskin dipaksa keluar.

• Malaysia semakin hari semakin hilang roh marhaennya.

Inilah modus operandi penjajah dahulu, usir rakyat dari tanah sendiri, serah pada pemodal. Hari ini, kerajaan Madani mengulangi sejarah gelap itu dalam wajah moden.

3. PUTRA bersama gelombang rakyat.

PUTRA melihat bahawa bantahan terhadap Urban Renewal Bill bukan datang daripada kami sahaja. PAS, BERSATU malah 7 Ahli Parlimen PH sendiri turut bangkit menyatakan penolakan. Ini bukti jelas, rakyat dari pelbagai aliran politik melihat undang-undang ini sebagai ancaman kepada marhaen.

Namun PUTRA bukan sekadar menentang tetapi menjadikan isu ini bukan sekadar bantahan biasa, tetapi Deklarasi Politik rasmi parti.

PUTRA meletakkan garis merah yang tegas bahawa Urban Renewal Bill adalah undang-undang pengusiran, dan jika diteruskan, ia bererti kerajaan memilih berpihak kepada pemaju, bukan rakyat.

PUTRA konsisten berdiri sebagai tembok besi terakhir, memastikan bantahan ini tidak padam, sebaliknya menjadi gelombang besar bersama suara rakyat yang lain.

Deklarasi Politik

PUTRA dengan ini mengisytiharkan:

• Menolak total Urban Renewal Bill kerana ia menghakis hak rakyat miskin di bandar.

• Menentang segala cubaan kerajaan Madani yang mahu menyerahkan kuasa penuh kepada pemaju untuk mengusir rakyat bawahan.

• Menjadi benteng pertahanan untuk flat kos rendah, kampung tradisi dan tanah pusaka sebagai lambang identiti serta maruah rakyat.

• Memimpin suara rakyat miskin yang diketepikan, memastikan kepentingan mereka tidak dipijak oleh kuasa kapitalis dan slogan palsu kerajaan.

PUTRA menyeru seluruh rakyat Malaysia  tanpa mengira parti politik, bangsa atau agama untuk bersama menolak Urban Renewal Bill.

Ini bukan isu kepartian, ini isu hak rakyat untuk memiliki tempat tinggal, mempertahankan kampung tradisi, tanah pusaka, dan maruah kehidupan di bandar.

“Urban Renewal bukan undang-undang pembangunan tapi ia undang-undang pengusiran. Selangkah ia diluluskan, selangkah maruah rakyat dikuburkan. PUTRA tidak akan biarkan. Jika kerajaan terus berdegil, jangan salahkan rakyat bila gelombang kebangkitan bermula.”

DATO’ DR IBRAHIM ALI
Presiden PUTRA
27 Ogos 2025 – HARAKAHDAILY 27/8/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -