Martabatkan tulisan Jawi pada MyKad, borang rasmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kalau bukan Malaysia yang mempertahankan tulisan Jawi, siapa lagi? Negara mana lagi dan bila lagi?” demikian lontaran Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) ketika mencadangkan tulisan Jawi dimasukkan pada kad pengenalan (MyKad) rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Menurut beliau, usaha itu perlu dilihat bukan sekadar soal sentimental atau warisan, sebaliknya sebagai tuntutan penting dalam memperkukuh dokumen rasmi negara dengan tulisan Jawi dimartabatkan pada MyKad atas empat asas utama iaitu legasi, sinergi, identiti dan keselamatan.

“Jawi adalah sebahagian daripada bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan. MyKad sebagai dokumen asas negara sepatutnya mengintegrasikan tulisan Jawi.

“Baik dalam bentuk fizikal mahupun digital, bagi mencerminkan identiti nasional,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mumtaz berkata, langkah itu juga mampu memberi nilai tambah dalam hubungan antarabangsa khususnya dengan negara Arab yang menggunakan aksara hampir sama.

“Malaysia akan lebih disantuni dan dihormati dengan langkah ini berdiri dengan negara Islam dengan identiti sendiri,” katanya yang juga Exco Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Sementara itu beliau berkata, kini wujud percanggahan ejaan nama Jawi pada pelbagai sijil rasmi termasuk sijil nikah dan sijil agama di negeri-negeri.

“Jadi kita perlukan satu rekod rasmi kerajaan yang tunggal supaya kita mencapai sinergi dan uniformiti,” ujarnya bersungguh mengemukakan cadangan dan kepentingan tulisan Jawi.

Beliau berkata, rakyat juga berhak mengisi borang rasmi menggunakan Jawi kerana perkara itu dijamin di bawah Akta Bahasa Kebangsaan.

“Oleh itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu memainkan peranan sebagai penjaga tunggal rekod identiti warganegara untuk mengangkat tulisan Jawi ke tahap sewajarnya,” katanya.

Mumtaz turut mendedahkan bahawa kad pengenalan di negara jiran iaiatu Singapura sudah membenarkan paparan Jawi bagi nama individu.

“Semakan dalam talian menunjukkan nama ‘Batman bin Superman’ tetap dipaparkan dalam tulisan Jawi pada kad pengenalan Singapura. Maka, Malaysia seharusnya lebih ke hadapan dalam memperkukuh identiti rasmi sendiri,” katanya.

Mengulas aspek keselamatan, beliau berkata, tulisan Jawi bukan sahaja warisan, malah memberi kelebihan kerana lebih sukar dimanipulasi berbanding tulisan Rumi.

“Huruf khusus seperti ‘nga’, ‘pa’ dan ‘cha’ lebih sukar di manipulasi berbanding Rumi dari sudut keselamatan. Ia mampu menjadi lapisan pertama keselamatan pada MyKad,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -