
KUALA LUMPUR: Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) membangkitkan kebimbangan serius, khususnya berhubung aspek biometrik, keselamatan data rakyat dan kuasa besar yang diberikan kepada menteri.
Menurut beliau, pengenalan biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris mata memang meningkatkan ketepatan identiti, namun ia menimbulkan persoalan tentang kebocoran dan keselamatan data rakyat.
“Kalau nombor telefon dan alamat pun boleh bocor di internet, bagaimana pula dengan data biometrik yang jauh lebih sensitif dan tidak boleh diganti? MyKad boleh diganti, tetapi cap jari dan retina tidak boleh ditukar,” tegasnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Abdul Latiff turut menuntut kerajaan memberi jaminan mekanisme enkripsi tahap tertinggi serta undang-undang perlindungan setara dengan General Data Protection Regulation (GDPR) di Eropah, selain mempersoalkan mengapa Akta Perlindungan Data Peribadi di Malaysia masih tidak meliputi agensi kerajaan.
“Bagaimana rakyat boleh yakin data ini tidak disalah guna untuk tujuan politik, komersial atau jatuh ke tangan ‘scammer’? Rakyat berhak tahu dan berhak dilindungi,” ujarnya.
RUU tersebut juga memperuntukkan seksyen baharu 6A yang membolehkan kesalahan dikompaun dengan keizinan Pendakwa Raya.
“Walaupun ia boleh mempercepatkan pentadbiran, tetapi ruang budi bicara terlalu luas. Rakyat kecil mungkin ditindas, sedangkan golongan berpengaruh terlepas hanya dengan membayar kompaun. Mekanisme semak imbang mesti jelas,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyentuh persoalan kos dan pertindihan fungsi dengan pelbagai aplikasi sedia ada.
“Kerajaan mahu perkenal MyDigital ID, sedangkan kita sudah ada MyJPJ, MySejahtera, PADU dan lain-lain. Adakah ini tidak membazir? Bagaimana kos projek ini ditanggung rakyat?” soalnya.
Di luar bandar pula katanya, rakyat bukan sahaja bimbang soal keselamatan data, malah juga akses dan kefahaman digital.
“Jangan dilaksanakan secara top-down tanpa libat urus awam,” tegas beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai, Kelantan.
Sebagai jalan ke hadapan, Ustaz Abdul Latiff mencadangkan agar pindaan disemak semula dengan menambah empat perkara utama iaitu kerangka undang-undang perlindungan data biometrik khusus.
Juga audit keselamatan tahunan oleh pihak bebas, hak rakyat untuk mengakses, menyemak dan membetulkan data biometrik mereka serta garis panduan jelas mengenai pihak ketiga yang boleh mengakses data.
“Tanpa ketelusan, akauntabiliti dan jaminan hak rakyat, pindaan ini hanya menambah kuasa kerajaan tetapi mengurangkan hak rakyat. Jangan jerat rakyat dengan undang-undang yang berlapik baldu di luar, tetapi mencengkam tanpa batas di dalam,” tegasnya menutup perbahasan. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











