
KUALA LUMPUR: Kad pengenalan diri bukan sekadar kepingan plastik, bahkan ia merupakan simbol hak warganegara seperti juga jalur gemilang yang menjadi lambang negara perlu dipertahankan dan disanjung saban hari.
Dalam kad pengenalan sudah mempunyai bendera lengkap bersama jumlah belang, bintang dan juga bulan sabit selain warna dan juga cara kedudukannya yang wajar diberi perhatian segenap warganegara Malaysia.
Dato’ Sri Dr Ismail Abdul Muttalib (PN-Maran) menegaskan demikian ketika menyertai perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pendaftaran Negara Pindaan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Dalam kehangatan menjelang sambutan bulan kemerdekaan 31 Ogos ini, beliau berkongsi kaedah memasang jalur gemilang sama ada di premis perniagaan mahupun kediaman masing-masing.
“Saya nak ajar kepada semua rakyat Malaysia jika nak pasang bendera tapi tak tahu cara pasang, ambil IC (kad pengenalan-MyKad) kita dan tengok IC masing-masing ada di sebelah atas bendera negara kita di situ sudah lengkap dan jumlah jalur.
“Jika masih sudah salah lagi, mungkin majikan pelaku tidak mempunyai IC atau pelaku itu tidak bersyukur dengan anugerah IC yang telah diberikan, mungkin boleh tangkap pelaku tak ada IC dan memalsukan IC ini,” katanya.
Ismail berkata, beliau turut mengesa kerajaan menerusi pindaan tersebut supaya mengenakan hukuman lebih berat berbanding hari ini, penjara tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 terhadap individu memalsukan MyKad.
Beliau berkata, kerajaan boleh mengambil pedoman pelaksanaan peraturan itu khususnya Singapura mengenakan hukuman sangat ketat kerana memiliki kad pengenalan palsu, penjara tidak melebih 10 tahun dan SGD10,000.
Dalam pada itu beliau turut meminta penjelasan kerajaan mengenai mekanisma kompaun yang baru diperkenalkan dalam pindaan tersebut bagi menyelesaikan masalah kecil tanpa melalui proses pendakwaan di Mahkamah.
“Namun perlu ada garis panduan yang jelas mengenai kategori kesalahan yang boleh dikompaun, kesalahan kecil seperti kelewatan melapor kehilangan MyKad kita mungkin wajar dikenakan kompaun.
“Saya mohon penjelasan menteri apakah jenis-jenis kesalahan yang boleh dikenakan kompaun,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











