Jangan beri menteri kuasa mutlak tanpa semak imbang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) menzahirkan kebimbangan berhubung Seksyen 6 yang memberikan kuasa besar kepada menteri untuk membuat peraturan, khususnya melibatkan pengambilan data dan penggunaan kad pengenalan.

Beliau berkata, kuasa yang diperuntukkan itu dilihat terlalu luas serta boleh kekal berdekad-dekad lamanya, sekali gus berpotensi digunakan oleh mana-mana kerajaan yang memerintah pada masa akan datang.

“Adakah kita mahu menyerahkan kuasa seperti ini kepada seorang menteri sahaja tanpa semak dan imbang? Menteri boleh bertukar ganti. Apa jaminan yang ianya tidak akan disalahgunakan pada masa akan datang?

“Saya harap perkara ini betul-betul diteliti semula kerana ianya melibatkan jutaan rakyat Malaysia,” ujarnya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar sebarang peraturan baharu yang melibatkan data biometrik ataupun kawalan penggunaan maklumat MyKad dibentangkan serta dibahaskan di Parlimen untuk penelitian, dan bukan hanya dikeluarkan melalui warta.

“Dalam masa yang sama, sebarang bentuk perkongsian data mestilah dimaklumkan dan mendapat persetujuan jelas daripada rakyat. Kita tidak mahu data rakyat yang asalnya dikumpul untuk satu tujuan, kemudian digunakan pula untuk tujuan lain tanpa rakyat sedar.

“Jika ini yang berlaku, rakyat hilang kawalan ke atas data peribadi mereka sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -