MyDigital ID perlu jamin keselamatan data rakyat

Undang-undang khas perlu bendung video AI palsu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) membangkitkan beberapa isu berkaitan keselamatan data, termasuk jaminan terhadap risiko keselamatan serta penyelarasan platform data dalam kalangan agensi kerajaan.

- Advertisement -

Beliau berkata, walaupun soal jaminan terhadap risiko keselamatan, pencerobohan data dan sebagainya telah dijelaskan, kebimbangan awam terhadap salah guna data tetap tinggi dan ia perlu diteliti dengan serius.

“RUU ini penting demi keselamatan negara. Pada saya tidak ada masalah untuk kita menyokong. Namun timbul kesangsian ketika ini ialah ia boleh membawa kepada pengawasan berlebihan.

“Rakyat mahu keseimbangan antara hak privasi rakyat dan kepentingan keselamatan nasional mesti betul-betul jelas serta dijamin bahawa penggunaan data ini hanya untuk tujuan yang sahih dan tidak boleh disalahgunakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat Parlimen di sini hari ini.

Penyelarasan data tidak teratur

Ahmad berkata, selain isu keselamatan dan pencerobohan data, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai penyelarasan platform data dalam kalangan agensi yang kini kelihatan tidak teratur.

“Saya meneliti pelaksanaan MyDigital ID pada fasa awal ini yang menyasarkan kepada pelaksanaan subsidi bersasar, perkhidmatan kesihatan dan sebagainya. Persoalannya, bagaimana pula dengan PADU (Pangkalan Data Utama) dan BUDI (Program Bantuan Subsidi Madani) yang telah dilaksanakan sebelum ini?

“Bagaimana penyelarasan dalam kalangan agensi dilakukan supaya setiap fungsi itu tidak bertindih? Mengapa fungsinya bersimpang-siur dan tidak dioptimumkan dengan terancang,” soalnya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Menurut beliau, ironinya adalah ketiadaan koordinasi dan perancangan yang sistematik apabila kerajaan memperkenalkan PADU dengan mewajibkan rakyat mengisi maklumat kononnya sebagai pangkalan data asal, namun dalam masa sama memperkenalkan pula BUDI serta MyDigital ID yang bersifat lebih menyeluruh.

“Dalam hal ini saya juga ingin mengetahui kos perolehan keseluruhan yang diberikan kepada syarikat dalam membangunkan data MyDigital ID ini,” jelasnya.

Undang-undang khas perlu bendung video AI palsu

Ahmad turut menyentuh soal perlindungan terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berleluasa, khususnya berkaitan video dan imej yang dipalsukan.

“Baru-baru ini kerajaan Denmark memperkenalkan suatu undang-undang hak cipta yang memberikan fokus khusus kepada perlindungan data peribadi terhadap tubuh badan, bentuk muka, suara dan sebagainya bagi menangani video-video AI generated.

“Kalau kita tengok kebelakangan ini banyak video AI yang diterbitkan menggunakan penampilan dan suara orang tertentu. Jadi undang-undang hak cipta ini melindungi setiap rakyat Denmark daripada dijadikan mangsa dalam AI generated video.

“Saya ingin tahu jika kementerian juga mempunyai hasrat ke arah yang sama seiring dengan data biometrik yang disentuh dalam pindaan akta ini. Apa yang penting, kita tidak mahu data-data ini disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -