Manfaat MyDigital ID pantau tingkah laku dicurigai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan agar memanfaatkan platform MyDigital ID untuk membangunkan satu sistem pemantauan proaktif, termasuk merekodkan tingkah laku individu yang mencurigakan dan tahap penguasaan Bahasa Melayu warganegara.

- Advertisement -

​Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata, walaupun pindaan Akta Pendaftaran Negara bagi memasukkan takrifan baharu ‘data biometrik’ menimbulkan kebimbangan, ia juga boleh dilihat secara positif sebagai peluang untuk menyelesaikan masalah negara.

​”Saya optimis bahawa dengan strategi dan pendekatan yang betul, ia boleh menjadi peluang untuk menyelesaikan beberapa masalah besar yang sedang membelenggu negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pendaftaran Negara (Pindahan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

​Beliau mencadangkan agar setiap kali MyDigital ID diakses di mana-mana premis, pegawai bertugas diberi ruang untuk membuat catatan tambahan mengenai transaksi individu tersebut.

​“Contoh, jika seorang lelaki hadir ke klinik swasta dalam keadaan mencurigakan seperti memandu dalam keadaan mabuk, pihak klinik boleh memasukkan catatan ke dalam portal tersebut dan maklumat itu kemudian boleh diintegrasikan terus ke pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).

​“Kaedah ini secara tak langsung menjadikan pegawai-pegawai khidmat pelanggan sebagai barisan hadapan, sebagai mata dan telinga tambahan kepada pihak berkuasa,” jelasnya.

​Selain itu, beliau turut berpandangan kaedah yang sama boleh diguna pakai untuk mengurangkan sentimen negatif antara kaum dengan merekodkan data yang lebih konkrit.

​“Setiap kali seorang warganegara membuat transaksi, pegawai khidmat pelanggan boleh merekodkan tahap kefasihan Bahasa Melayu individu berkenaan. Rekod yang terkumpul ini dapat memberikan gambaran data yang lebih konkrit berbanding hanya bersandar kepada persepsi.

“Kerajaan boleh memanggil individu tersebut untuk memberikan keterangan ataupun membuat tindakan susulan,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang.

​Walau bagaimanapun, Muhammad Fawwaz turut membangkitkan kebimbangan serius terhadap fasal-fasal lain dalam pindaan tersebut yang memberikan kuasa begitu luas kepada Menteri.

​Beliau mempersoalkan mengapa Menteri diberikan kuasa untuk menetapkan peraturan dan kawalan terhadap penggunaan maklumat dalam kad pengenalan tanpa mekanisme semak dan imbang yang jelas.

​“Adakah peruntukan sebegini tidak membuka ruang kepada risiko penyalahgunaan kuasa, pendakwaan terpilih ataupun campur tangan yang boleh menggugat keadilan? Apakah jaminan bahawa setiap keputusan yang dibuat benar-benar bersandarkan prinsip integriti, kelulusan dan keadilan?” soalnya.

​Beliau menyimpulkan bahawa hasrat baik pindaan itu akan gagal dicapai sekiranya persoalan besar mengenai integriti dan ketelusan pemegang kuasa tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -