Beri kuasa Menteri terlalu luas risikokan integriti

RUU Perolehan Kerajaan 2025

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 oleh Kerajaan Madani menerima kritikan hebat kerana memberi kuasa terlalu luas kepada Menteri, sekali gus menjejaskan matlamat asal akta ini untuk mewujudkan ketelusan serta integriti dalam proses perolehan negara.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, beberapa peruntukan dalam RUU ini seolah-olah membuka ruang besar untuk salah guna kuasa.

“Seksyen 2(2) memberikan kuasa penuh kepada Menteri untuk mengecualikan sebarang program baharu daripada pemakaian akta. Klausa pengecualian ini menjadikan akta tidak bermakna kerana hampir semua seksyen boleh diketepikan dengan kuasa politik,” tegas beliau.

Melalui Seksyen 10 dan Jadual Pertama, Menteri diletakkan sebagai pihak yang meluluskan perolehan bernilai RM50 juta ke atas bagi perkhidmatan dan RM100 juta ke atas bagi perbekalan, tanpa had siling.

Lebih membimbangkan, Seksyen 13(3) membolehkan Menteri membuat keputusan bercanggah dengan Lembaga Perolehan tanpa perlu memberikan sebarang alasan.

“Situasi ini menjadikan Menteri sebagai regulator dan peserta sekali gus. Analogi mudahnya, Menteri umpama pemain bola sepak yang juga menjadi pengadil dalam perlawanan – sudah tentu ia merosakkan prinsip integriti,” katanya.

RUU ini juga mensyaratkan semua pembekal berdaftar di bawah Seksyen 17, dengan Seksyen 19 menyenaraikan syarat penolakan seperti kesalahan SPRM, akta persaingan, jenayah dan kebankrapan. Namun, Seksyen 24(1) memberi kuasa kepada Menteri untuk mengecualikan mana-mana pembekal daripada pendaftaran ini.

“Mudahnya, jika Menteri mahu meluluskan projek kepada kroni yang tidak berdaftar, beliau boleh berbuat demikian melalui pengecualian,” ujarnya.

Walaupun Seksyen 28 menekankan keutamaan perolehan terbuka, Seksyen 30 dan 32 membenarkan pengecualian melalui alasan ‘keterdesakan’ dan ‘kepentingan awam’.

“Frasa yang longgar ini dikhuatiri akan dijadikan alasan untuk memintas tender terbuka. Seksyen 37 mewajibkan penzahiran kepentingan dan melarang campur tangan, tetapi Seksyen 89(1) memberikan kuasa kepada Menteri menggubal peraturan berkaitan.

“Bayangkan jika Menteri menetapkan laporan hanya perlu dibuat kepada beliau – maka segala konflik kepentingan boleh disorokkan,” jelas Nurul Islam.

RUU ini mempunyai hasrat baik, namun kuasa luas yang diberikan kepada Menteri berpotensi mengundang penyalahgunaan.

“Kuasa Menteri perlu dikecilkan agar akta ini benar-benar berfungsi seperti yang dihasratkan, bukan menjadi alat politik,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 27/08/2025

- Advertisement -