Usahawan asnaf perlu perkukuh ilmu dan kemahiran

- Advertisement -

KANGAR: Usahawan asnaf diseru agar tidak sekadar bergantung kepada bantuan modal semata-mata, sebaliknya memperkukuhkan keupayaan dengan ilmu, kemahiran dan latihan berterusan supaya mampu bersaing dalam dunia keusahawanan moden.

- Advertisement -

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha memperkasa usahawan asnaf mesti melibatkan bimbingan, kursus serta sokongan berterusan agar mereka berdaya maju sekali gus mampu melipatgandakan hasil serta pendapatan.

“Cabaran keusahawanan kini lebih kompleks dengan perkembangan teknologi serta kecerdasan buatan. Maka, usahawan asnaf mesti melengkapkan diri dengan ilmu dan jaringan strategik untuk kekal relevan dan bersaing,” titah baginda.

Baginda yang berangkat diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Utan Aji, di sini.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyempurnakan penyerahan agihan zakat kepada golongan asnaf terpilih.

Sumbangan berupa wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah disampaikan kepada beberapa penerima antaranya Nor Azan @ Nor Milan Mat Isa, 49, dari Kampung Guar Ujong Batu, Junaidi Hamid, 57, dari Kampung Mengkuang Layar, serta Ramlan Ramli, 75, dari Kampung Surau Utan Aji.

Titah baginda, penekanan terhadap pembangunan kapasiti usahawan selari dengan pengalaman baginda ketika lawatan ke Norrsken House di Kigali, Rwanda baru-baru ini, sebuah pusat keusahawanan setempat yang berkembang maju hasil gabungan latihan, sokongan modal dan jaringan perniagaan antarabangsa.

“Model kejayaan seperti ini perlu dijadikan contoh bahawa dengan bimbingan yang tepat, asnaf juga mampu berdikari dan menyumbang kepada ekonomi negeri,” titah baginda lagi.

Menjunjung titah berkenaan, MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) menganjurkan program Khidmat Nasihat dan Rundingan Usahawan Asnaf dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

SSM memberi pendedahan mengenai proses pendaftaran perniagaan sah, kepentingan pematuhan undang-undang serta pengurusan rekod yang sistematik, manakala Bank Rakyat memperkenalkan kemudahan pembiayaan, skim pinjaman dan bimbingan kewangan untuk membantu asnaf mengembangkan perniagaan.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliyyah MAIPs ini khusus bagi membuka akses kepada khidmat nasihat, panduan pembangunan perniagaan serta jaringan sokongan institusi berkaitan.

Dengan penganjuran inisiatif sebegini, MAIPs yakin usahawan asnaf akan lebih berdaya maju dan dapat membuktikan bahawa golongan asnaf bukan sekadar penerima bantuan, bahkan mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -