
KUALA LUMPUR: Isu ketirisan subsidi diesel, kelemahan penguatkuasaan, dan ketidakadilan pasaran ikan terus menghimpit kehidupan nelayan tempatan, meskipun kerajaan telah menyalurkan lebih RM1 bilion subsidi diesel pada tahun 2024.
Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN–Sik) membangkitkan demikian ketika membahaskan Laporan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, walaupun kerajaan memperuntukkan subsidi diesel bersubsidi untuk nelayan, masih berlaku penyelewengan dan kegagalan membendung ketirisan ini sehingga nelayan tulen terus terpinggir.
“Mereka yang tidak turun ke laut menikmati subsidi. Tiba masanya kerajaan melaksanakan kawalan digital sepenuhnya termasuk penggunaan Vessel Monitoring System (VMS), integrasi pangkalan data nelayan serta e-wallet, supaya setiap liter diesel benar-benar sampai kepada yang berhak,” tegasnya.
Beliau menambah, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia purata isi rumah negara ialah RM7,354 sebulan tetapi realitinya nelayan pantai hanya sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan, jelas menunjukkan jurang pendapatan yang besar.
Menurut beliau, ia berpunca daripada struktur pasaran ikan yang tidak adil, di mana orang tengah mengaut keuntungan besar sementara nelayan kekal miskin.
Ahmad Tarmizi turut menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman pencerobohan nelayan asing dan aktiviti ‘Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) fishing’.
“Antara tahun 2020 hingga 2024, sebanyak 515 kes pencerobohan direkodkan, majoritinya dari Vietnam, dengan kerugian hasil laut dianggarkan RM6 bilion setahun. Malah, kes terbaru pencerobohan nelayan Indonesia di Pulau Pinang kini tular di media sosial,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kekurangan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan kelemahan koordinasi menjadi punca kelemahan penguatkuasaan, oleh itu kerajaan digesa menambah bot ronda berkelajuan tinggi, radar dan dron, serta memperluas rondaan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia.
Beliau turut menyentuh masalah ketidakselarasan pengurusan subsidi yang diagih pelbagai kementerian di mana fenomena ‘nelayan atas kertas’ yang hanya berdaftar untuk mendapat subsidi, tetapi tidak turun ke laut perlu ditangani segera melalui pangkalan data nasional menghubungkan agensi-agensi berkaitan.
“LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) mesti diperkasa semula sebagai benteng kebajikan nelayan. Kita tidak boleh biarkan nelayan menjadi mangsa sistem yang longgar,” katanya.
Ahmad Tarmizi mengingatkan Dewan bahawa sektor perikanan menyumbang hampir 90 peratus kadar sara diri (SSR) negara dengan pengeluaran 1.4 juta tan metrik ikan setahun, namun Malaysia masih mengimport sekitar 25 peratus bekalan ikan.
“Nelayan bukan sekadar penerima bantuan, mereka adalah ‘frontliner’ keselamatan makanan negara. Kerajaan mesti berubah daripada pendekatan subsidi jangka pendek kepada pelaburan strategik dalam pemodenan teknologi, industri hiliran dan pengembangan pasaran,” tegasnya.
Beliau turut menyeru kerajaan agar lebih serius dalam menghentikan ketirisan, meningkatkan penguatkuasaan, menyelaras dasar, dan memperkasa nelayan sebagai wira laut serta wira makanan negara. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











