
ISLAM menekankan keadilan dan larangan keras terhadap perampasan hak milik, termasuk tanah. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat 188)
Allah SWT juga berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِى ٱلْأَرْضِ حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌ
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah ayat 168)
Berikut adalah beberapa hadis yang menggambarkan betapa seriusnya larangan ini:
1. Ancaman terhadap perampas tanah:
مَنْ ظَلَمَ قِيدَ شِبْرٍ مِنَ الْأَرْضِ طُوِّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ
“Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka dia akan dikalungkan (dengan tanah) dari tujuh lapis bumi.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari 2454 dan Imam Muslim 1610)
2. Azab ditenggelamkan ke dasar bumi:
مَنْ أَخَذَ مِنَ الْأَرْضِ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ خُسِفَ لَهُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ
“Sesiapa yang mengambil tanah (meskipun) sedikit tanpa haknya maka dia akan ditenggelamkan dengan tanahnya pada hari kiamat sampai ke dasar tujuh lapis bumi.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari 2454)
3. Larangan mengubah sempadan tanah:
وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ غَيَّرَ مَنَارَ الْأَرْضِ
“Allah melaknat orang yang mengubah tanda-tanda pembatas tanah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim 1978)
4. Tidak halal harta tanpa keredaan:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
“Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim 2564)
لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ أَنْ يَأْخُذَ عَصَا أَخِيهِ بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ مِنْهُ
“Tidak halal (tidak dibenarkan) bagi seseorang mengambil walaupun sebatang tongkat milik saudaranya tanpa kerelaan hatinya.” (Takhrij Sahih Ibn Hibban 5978)
لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ أَنْ يَأْخُذَ مَالَ أَخِيهِ بِغَيْرِ حَقِّهِ، وَذَلِكَ لِمَا حَرَّمَ اللَّهُ مَالَ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ
“Tidak halal bagi seseorang mengambil harta saudaranya tanpa hak. Itu kerana Allah telah mengharamkan harta seorang Muslim ke atas Muslim yang lain.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad 22499)
لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا عَنْ طِيبِ نَفْسٍ مِنْهُ
“Tidak halal harta seorang Muslim (diambil) melainkan dengan kerelaan hatinya.” (Sunan Imam al-Daraqutni 2886)
5. Nabi SAW tidak mengiktiraf keputusan menzalimi hak orang:
مَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِشَيْءٍ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ فَلَا يَأْخُذْهُ، فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنَ النَّارِ
“Sesiapa yang aku putuskan (keputusan mahkamah) untuknya sesuatu dari hak saudaranya, maka janganlah dia ambilnya, kerana aku sebenarnya telah memotong untuknya sepotong api neraka.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari 2458 dan Imam Muslim 1713)
Hadis-hadis di atas menegaskan bahawa Islam amat menjaga hak milik individu dan mengharamkan sebarang bentuk kezaliman, termasuk merampas tanah tanpa hak.
Namun, RUU URA (Urban Renewal Act) yang dibawa kerajaan Madani pada hari ini nyata bercanggah dengan Perlembagaan, kuasa Raja-raja, prinsip keadilan sosial serta tuntutan agama.
Ia bersifat paksaan tanpa ruang rayuan, membuka jalan gentrifikasi (penduduk miskin diusir dan diganti dengan kelas kaya) yang menindas rakyat miskin, mengancam Tanah Rezab Melayu, kampung tradisi dan wakaf umat Islam, di samping memberi kuasa mutlak kepada KPKT yang menyalahi semangat Persekutuan.
Ringkasnya, URA bukan sekadar isu politik, tetapi ancaman besar yang meruntuhkan demokrasi, merampas hak rakyat, menghakis kedaulatan Raja-raja, dan menyalahi syariah yang menegakkan keadilan.
Wallahu a’lam.
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN JASIN – HARAKAHDAILY 27/8/2025











