
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Panglima Saifuddin Nasution Ismail dilihat bercanggah dengan keterangan yang diberikan Inspire Malaysia Sdn Bhd berhubung larangan e-rokok dan nikotin di negara ini.
Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) dimaklumkan syarikat berpusat di California Amerika Syarikat itu hanya mengeluarkan perkakasan vape dan e-rokok, bukannya produk berkaitan cecair nikotin mahupun ganja.
Beliau berkata, perkara itu didedahkan menerusi pertanyaan lisan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status operasi syarikat di Senai Johor Bharu yang dilihat melanggar Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Media melaporkan Inspire Malaysia menafikan penjualan e-rokok untuk pasaran domestik dan mengeluarkan peralatan separuh siap, tidak melibatkan produk cecair nikotin. Namun maklum balas (menteri) kita lihat ada percanggahan.
“Menurut beliau pengilangan ini membabitkan peranti e-rokok termasuk vape dan cecair nikotin di pasaran eksport, bermakna polisi negara masih menyokong e-rokok secara global kerana pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan terhadap Laporan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan berkenaan Penggunaan Vape Dalam Kalangan Rakyat Malaysia di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Siti Mastura dalam ucapan beliau turut mengucap tahniah kepada kerajaan negeri dibawah Perikatan Nasional (PN) atau Empat Kerajaan Negeri (SG4) atas kejayaan melarang sepenuhnya penjualan vape dan produk nikotin.
Beliau berkata, langkah yang dilakukan secara konsisten itu bagi memenuhi tuntutan maqasid syariah yang menekankan kepentingan akal, nyawa dan juga harta, iaitu tidak boleh memudaratkan diri dan orang lain.
“Ada beberapa negeri telah melarang penguatkuasaan penjualan ini dan tahniah saya ucapkan kepada negeri-negeri SG4 yang dinamakan Kelantan menguatkuasakan pada 2015, Kedah Perlis dan Terengganu sudah menguatkuasakan.
“Insya-Allah kita akan melihat kepada negeri Pulau Pinang pula, yang saya lihat masih lagi mengkaji dan saya sebagai orang Pulau Pinang mengharapkan supaya kerajaan negeri turut melarang penjualan vape ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











