
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memberi jaminan kes buli pelajar di sebuah sekolah menengah agama di Kemaman baru-baru ini akan ditangani dengan serius mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, setiap sekolah telah dilengkapi garis panduan serta peraturan bagi menangani isu buli dan kaunseling turut diberi perhatian bagi mengelak tekanan emosi dalam kalangan pelajar.
“Kes seumpama ini tidak sepatutnya berlaku di institusi pendidikan, lebih-lebih lagi pada usia remaja. Namun jika ia berlaku, kita tangani sebaik mungkin mengikut SOP.
“Kita menitikberatkan aspek kaunseling kerana semua pelajar berdepan tekanan belajar yang berbeza. Sebelum ia menjadi lebih serius, langkah awal perlu diambil,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kes buli yang berlaku pada 30 Julai lalu melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga dipukul sekumpulan senior di sebuah asrama sekolah menengah agama di Kemaman.
Untuk rekod, mangsa mengalami kecederaan ringan dan membuat laporan polis pada 3 Ogos sebelum enam pelajar direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab dalam pada itu berkata, satu ‘task force’ khas diketuai Timbalan Pengarah Yayasan Terengganu ditubuhkan bagi menilai serta melaksanakan langkah baharu membanteras gejala buli.
“Antara pendekatan yang dibincangkan termasuk pertukaran penyelia dari semasa ke semasa serta meneliti kaedah baharu seperti model yang dilaksanakan di MRSM, iaitu melantik warden daripada kalangan bekas tentera.
“Kaedah ini akan diperhalusi dan dilaksanakan segera bagi memastikan kes buli tidak berulang, khususnya di sekolah-sekolah Imtiyaz,” katanya ketika ditemui di Dewan Besar Yayasan Terengganu, semalam. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











