Mahasiswa tunjang realisasi agenda ‘The Greater Kedah’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Mahasiswa disifatkan sebagai tunjang utama yang akan merealisasikan agenda ‘The Greater Kedah’ dengan melengkapkan diri bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga sahsiah dan pemahaman terhadap realiti masyarakat.

- Advertisement -

​Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, setiap anak Kedah mempunyai hak untuk berjuang dan membangunkan negeri ini.

​”Anak Kedah mempunyai hak untuk memperjuangkan dan membangunkan negeri ini menjadi The Greater Kedah,” katanya ketika Majlis Perasmian Bakti Siswa Perdana Negeri Kedah, di sini semalam.

​Menurutnya, visi itu disokong oleh pencapaian ekonomi luar biasa negeri yang berjaya menarik pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM45.8 bilion, tertinggi di Malaysia.

​Kini katanya, menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengisi kekosongan jawatan profesional yang wujud hasil daripada pelaburan tersebut.

​”Jadi kita nak ramai jurutera (engineer), Akauntan (accountant), penasihat undang-undang (legal advisor) dan semua kategori profesional terdiri daripada anak Kedah,” ujar beliau.

​Program Bakti Siswa yang disertai lebih 1,500 mahasiswa di 36 DUN dilihat sebagai medan latihan untuk mereka mendekati rakyat dan memahami denyut nadi masyarakat, sebagai persediaan sebelum mengambil alih tampuk pimpinan negeri pada masa akan datang.

​”Lengkapkan diri, turun ke kampung desa santuni semua, tunjukkan akhlak mulia dan hormati yang tua serta kasihi golongan muda,” nasihat beliau. – HARAKAHDAILY 28/8/2025

- Advertisement -