RUU Perolehan 2025: ‘Lesen rasuah’, bukan reformasi

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang dibawa Kerajaan Madani disifatkan bukan langkah reformasi institusi, sebaliknya satu ‘lesen besar’ untuk rasuah dan penyelewengan wang rakyat.

- Advertisement -

Pengarah Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid berkata, RUU tersebut membuka ruang terlalu luas kepada seorang menteri mengawal segala urusan perolehan negara, sekali gus mengetepikan prinsip semak imbang dan ketelusan.

“RUU ini bukan undang-undang tetapi menjurus kepada ‘dictatorship’. RUU ini memberi kuasa mutlak kepada seorang Menteri untuk menentukan tatacara perolehan, garis panduan dan pengecualian.

“Apa gunanya bercakap soal ketelusan jika segala keputusan akhirnya boleh dimonopoli oleh individu politik? Ini juga membuka pintu kepada kronisme, rasuah mega, skandal dan penyelewengan wang rakyat,” tegasnya.

Beliau menyenaraikan, seksyen 10(1)(a), Jadual Pertama, Menteri boleh meluluskan kontrak mega tanpa had siling, Seksyen 13(2)-(4), Menteri tidak terikat dengan cadangan lembaga pemulihan.

Juga Seksyen 12(8), jika lembaga gagal capai keputusan, seorang menteri sahaja boleh memutuskan, selain Seksyen 11(1), Jadual Kedua, Menteri mempunyai pengaruh dalam pelantikan ahli lembaga perolehan.

“Apakah kerajaan benar-benar serius mahu membanteras rasuah, ketirisan dan skandal projek gajah putih atau sekadar meluluskan undang-undang kosmetik untuk menutup mata rakyat?

“Dengan peruntukan ini, sebarang kontrak berbilion ringgit boleh diberi tanpa tender terbuka atas alasan ‘keperluan mendesak’. Rakyat hanya mampu melihat dari jauh bagaimana wang cukai mereka diuruskan,” katanya.

Menurut Anas, RUU itu gagal menyediakan badan bebas untuk menilai atau mencabar keputusan perolehan, malah dokumen kontrak boleh disembunyikan di bawah alasan ‘rahsia rasmi’.

“Ini bermakna rakyat tidak mampu menilai sama ada wang negara dibelanjakan secara berhemah atau sebenarnya disapu oleh pihak tertentu.

“Adakah Madani sedang membuka pintu rasuah mega, projek gajah putih dan mahu sembunyikan rompakan terancang?” ujarnya.

RUU ini juga jelas beliau, hanya akan mempercepatkan amalan rundingan terus, lebihan kos, kegagalan projek dan akhirnya menambahkan hutang negara.

“Rakyat bawahan akhirnya dipaksa menanggung beban cukai yang lebih tinggi dan penarikan subsidi serta kenaikan kos sara hidup akibat kepincangan undang-undang ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan RUU ini mesti ditolak habis-habisan dan diperbaiki bersama badan dan individu bukan kerajaan (NGO, NGI) serta pembangkang sebelum diluluskan.

“Ia perlu ditolak dan diperbaiki secara menyeluruh serta disemak bersama badan bebas, NGO, NGI dan juga pembangkang sebelum wang rakyat sekali lagi menjadi korban kerakusan politik dan kronisme.

“RUU ini mesti ditolak habis-habisan. Kalau diluluskan, Malaysia bukan menuju ketelusan tetapi terjunam ke lembah rasuah yang lebih jijik dan skandal yang lebih besar dari 1MDB,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025

- Advertisement -