Semarak Merdeka kukuhkan ukhuwah warga Santan

- Advertisement -

KANGAR: Program Minum Petang Merdeka yang berlangsung di Rumah Merdeka Aziz Shaari, Kampung Santan, di sini semalam berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

- Advertisement -

Program anjuran Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Santan Selatan dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Santan itu diadakan bersempena Semarak Merdeka 2025 yang bertujuan meninggikan patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang turut hadir menyatakan bahawa usaha sebegini penting bagi mengekalkan perpaduan rakyat serta menyuburkan semangat cintakan tanah air.

“Semoga ukhuwah yang terjalin terus erat, dan semangat cintakan negara sentiasa subur dalam jiwa kita semua,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Antara pengisian program ialah perhimpunan dan silaturahim masyarakat, pengibaran Jalur Gemilang dan majlis minum petang.

Mohd Shukri turut memberi penekanan kepada mesej semangat cintakan negara, kepentingan perpaduan serta tanggungjawab bersama mempertahankan kedaulatan tanah air.

Program yang diadakan ini bukan sahaja memberi ruang rakyat berhimpun dan berukhuwah, malah diharap menjadi momentum untuk menggerakkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan sepanjang bulan kebangsaan.

Ia juga dapat memperkukuh semangat kebersamaan serta memupuk rasa cinta akan tanah air dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan menjayakan program ini. Semoga ukhuwah yang terjalin terus erat, dan semangat cintakan negara sentiasa subur dalam jiwa kita semua,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang. – HARAKAHDAILY 28/8/2025

- Advertisement -