Pendekkan nyah aktif pekerja gig kepada 48 jam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mencadangkan agar tempoh penyahaktifan pekerja gig di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dikurangkan daripada 14 hari kepada 48 jam sahaja.

- Advertisement -

Beliau berkata, tempoh 14 hari yang ditetapkan terlalu lama untuk pekerja gig yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian mereka.

Kata beliau, sekiranya digantung tanpa sebarang bukti salah laku, mereka berisiko kehilangan sumber pendapatan dan terdedah kepada tekanan ekonomi.

“Saya cadangkan kepada Dewan yang mulia ini tempoh penyahaktifan itu, kalau boleh, dibuat selama 48 jam sahaja. Jika tempoh penyahaktifan diberikan terlalu panjang, ia berisiko disalahgunakan oleh pihak penyelia platform.

“(Misalnya mereka) menyahaktifkan mana-mana pekerja gig tanpa bukti jelas mengenai kesalahan yang didakwa oleh pelanggan. Dengan menetapkan tempoh yang adil, pekerja gig mempunyai ruang untuk membela diri dan mencari pendapatan harian,” katanya.

Beliau mengemukakan perkara itu ketika membahaskan RUU Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, proses penyelesaian termaktub dalam RUU ini terlalu panjang dan membebankan pekerja gig, yang mungkin terpaksa melalui empat peringkat sebelum isu selesai.

“Proses ini wajar dipendekkan kepada dua peringkat sahaja iaitu aduan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan seterusnya tribunal,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025

- Advertisement -