
KUALA LUMPUR: Datuk Ustaz Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 sebagai terlalu longgar dan gagal memberi fokus kepada kumpulan pekerja paling berisiko.
Beliau menegaskan, tindakan kerajaan meletakkan semua jenis pekerja gig ke dalam ‘satu bakul’ adalah satu kesilapan besar dan menggesa agar sebuah Suruhanjaya Ekonomi Gig diwujudkan serentak dengan akta itu bagi membela nasib 1.2 juta pekerja dalam sektor tersebut.
Menurut Idris, RUU itu merangkumkan semua pekerja gig seperti e-hailing, p-hailing, freelancer dan penjaja, sedangkan sifat dan cabaran kerja mereka amat berbeza.
Beliau memetik Singapura sebagai contoh yang lebih cermat, di mana negara itu memulakan perlindungan dengan sektor p-hailing dan e-hailing terlebih dahulu, iaitu kumpulan yang paling terdedah kepada bahaya.
“Mereka inilah sebenarnya yang bertarung nyawa di tengah-tengah jalan raya. Saya selalu pesan bawa motor perlahan-lahan, tetapi mereka kata terpaksa kejar trip. Sebab itu, ianya mesti jangan diletakkan dalam satu bakul,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan mekanisme caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dilihat membebankan pekerja, sedangkan ia sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat platform.
“Bukan senang untuk mereka mendapat minimum 100 pesanan dalam sebulan untuk layak dapat kebajikan, terutama dalam keadaan cuaca buruk,” katanya.
Selain itu, Idris juga membidas tindakan kerajaan yang tidak melibatkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam penggubalan RUU tersebut, walaupun MTUC adalah badan induk yang menjadi payung kepada semua pekerja di Malaysia.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa Tribunal Pekerja Gig yang bakal ditubuhkan tidak akan menyebelahi pekerja dan mendesak agar ia turut dianggotai oleh wakil persatuan e-hailing dan p-hailing serta MTUC.
Sebagai jalan penyelesaian menyeluruh, Ahli Parlimen PN itu mencadangkan agar Suruhanjaya Ekonomi Gig ditubuhkan secara serentak dengan RUU ini.
Jelasnya, ekonomi gig melibatkan pelbagai kementerian seperti Pengangkutan dan Komunikasi, manakala RUU ini hanya diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam urusan kementerian lain.
“Saya mencadangkan supaya suruhanjaya ini juga diadakan serentak sekali supaya ianya dapat menjadi penaung sebenar dan memberikan manfaat kepada pekerja kita di seluruh Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025











