RUU Pekerja Gig dibentang KESUMA tiada gaji minimum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberikan maksud lebih jelas terhadap pekerja gig dalam Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua hari ini.

- Advertisement -

Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berkata, dalam RUU tersebut tidak ada penjelasan sama ada golongan tersebut dikategorikan sebagai pekerja tetap, kontrak atau pekerja bebas sebagaimana biasa.

Malah beliau berkata lagi, RUU tersebut turut mewajibkan caruman dilakukan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sedangkan tekanan kos sara hidup di negara semakin meningkat saban waktu.

“Kekaburan ini bakal menimbulkan konflik, apakah hak sebenar mereka, adakah syarikat platform dianggap sebagai majikan, jika tidak jelas maka pekerja gig akan terus berada dalam ketidaktentuan, ‘grey area’.

“Selain itu soal kos dan beban pendapatan, ia mewajidkan caruman keselamatan sosial, namun beban itu akhirnya akan ditanggung oleh pekerja dengan pendapatan tidak menentu dan sentiasa berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rushdan berkata lagi, RUU tersebut tidak dapat memberi jaminan bahawa pekerja gig dapat merasai gaji minimum sebanyak RM1,700 yang dilaksanakan sebelum ini walaupun ada perlindungan asas disediakan kerajaan.

Bahkan katanya, ia tidak menyelesaikan masalah besar iaitu kadar bayaran yang ditentukan sepenuhnya oleh syarikat penyedia selain ramai pekerja gig mengadu walaupun sudah bekerja dalam tempoh panjang.

“Mereka masih gagal mencapai gaji pokok RM1,700, lainlah kalau mereka masih rancak dan kurang persaingan seperti dahulu, apakah perlindungan sebenar kalau asas keadilan upah tidak disentuh sekalipun.

“RUU ini berisiko mengorbankan fleksibiliti yang menjadi utama kerja gig, jika pekerja ini dibebankan dengan syarat ketat seperti pekerja separa tetap, mungkin tiada lagi kebebasan jadi faktor utama,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025

- Advertisement -