
KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) meminta Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan.
Beliau berkata, terdapat banyak lompong dalam RUU itu yang perlu diperbaiki supaya matlamat melindungi pekerja gig benar-benar dapat dicapai.
“Saya senada dengan rakan-rakan daripada Alor Setar dan ramai lagi. Kita bukan pengkhianat nak menolak RUU ini seperti mana yang ditohmah macai-macai di luar sana kononnya kami nak menjahanamkan hak dan kebajikan pekerja gig,” ujarnya.
Beliau menegaskan demikian ketika membahaskan RUU Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, apa yang dibangkitkan oleh pembangkang adalah kelemahan kandungan RUU itu, bukan menolak keperluan melindungi pekerja gig.
“Kita nak jawab satu persatu beberapa persoalan. Siapa bantah RUU ini pengkhianat kepada pekerja gig? Yang kita soal bukan niat RUU ini tetapi kelemahan kandungan dia. Semua di dalam Dewan ini setuju pekerja gig mesti dilindungi.
“Kalau kita tegur kelemahan itu, bukan pengkhianatan. Itulah tanggungjawab kita sebagai Ahli Parlimen untuk pastikan undang-undang benar-benar melindungi rakyat, bukan sekadar di atas kertas,” bidasnya.
Beliau turut menepis tuduhan kononnya jika RUU itu ditangguh, pekerja gig akan terus tanpa perlindungan, sedangkan sejak 2021 pekerja gig sudah pun dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.
“Jadi tidak ada vakum, tidak ada lakuna. Persoalannya adakah RUU baru ini menambah baik atau hanya menggandakan undang-undang sedia ada sambil menambah beban kepada pekerja.
“RUU ini perlu lulus segera untuk beri keadilan kata Bentong tadi. Kita semua mahukan keadilan, tapi keadilan tidak datang daripada undang-undang yang tergesa-gesa,” tegasnya.
Menurutnya, pengalaman beberapa negara lain wajar dijadikan pengajaran, termasuk Sepanyol yang melaksanakan undang-undang secara terburu-buru sehingga menyebabkan platform keluar daripada negara tersebut dan ribuan pekerja hilang pekerjaan.
Jelasnya, Malaysia sepatutnya mencontohi Singapura yang mengambil pendekatan berfasa melalui ‘sandbox’, bermula dengan sektor p-hailing dan e-hailing.
“Saya suka kita belajar daripada contoh Singapura yang ambil pendekatan berfasa. Mereka beri tumpuan kepada pekerja gig dalam sektor p-hailing dan e-hailing dahulu.
“Tak perlu lagi kita bawa yang lain-lain itu kerana kita nak tengok macam mana RUU ini atau akta ini mampu membela majoriti pekerja gig dalam sektor p-hailing dan e-hailing.
“Jadi kalau kita minta tangguh untuk buat Regulatory Impact Assessment (RIA) dan wujudkan Suruhanjaya Gig Ekonomi, itu bukan kelewatan sia-sia, itu cara kita pastikan keadilan betul-betul dapat dicapai,” cadangnya.
Wan Ahmad Fayhsal turut menegaskan bahawa bantahan terhadap RUU itu bukan hanya datang daripada pembangkang, malah turut disuarakan pihak lain.
“MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) pun bantah. SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) pun bantah tetapi bantah dengan syarat, iaitu penambahbaikan perlu ada lebih banyak libat urus. Kerana apa? Kerana rang undang-undang ini dibuat secara tergesa-gesa,” katanya.
Beliau berkata, meskipun sudah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, masih banyak pihak berkepentingan yang tidak dijemput untuk dirunding, khususnya persatuan p-hailing dan e-hailing.
“Mereka menghantar memorandum kepada kami semua meminta rang undang-undang ini ditangguhkan. Bukan kita menentang, kita minta ditangguhkan dahulu supaya penambahbaikan dapat dibuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025











