RUU perlu lindung pekerja gig dari dieksploitasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) membangkitkan kebimbangan mengenai kuasa besar syarikat platform terhadap pekerja gig yang masih diberikan dominasi dalam Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025.

Beliau berkata, kuasa itu termasuk penetapan kadar upah yang berisiko menyebabkan pekerja gig terus dieksploitasi dengan bayaran rendah, masa kerja panjang tetapi tanpa perlindungan sewajarnya.

“Jadi saya ingin tahu bagaimana kerajaan memastikan pekerja gig ini tidak terus dieksploitasi dengan kadar upah yang rendah, masa kerja yang panjang tetapi tiada perlindungan,” ujarnya ketika membahaskan RUU berkenaan dalam Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurutnya, isu perlindungan sosial dan kesihatan juga perlu diberi perhatian kerana majoriti pekerja gig bergantung kepada motosikal dan kereta, sekali gus terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

“Namun RUU ini tidak memperincikan kewajipan syarikat platform untuk menanggung perlindungan insurans atau keselamatan pekerja.

“Adakah kerajaan bercadang mewajibkan caruman PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan skim perlindungan kemalangan kepada semua pekerja gig dan begitu juga jaminan pendapatan minimum?

“Jika pekerja gig hanya bergantung kepada permintaan aplikasi, mereka tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Jadi persoalannya, adakah kerajaan bercadang mewujudkan satu jaminan pendapatan minimum ataupun kadar upah lantai kepada semua pekerja gig supaya mereka tidak dibayar terlalu rendah?” soalnya.

Beliau turut menegaskan, pekerja gig juga berhak mempunyai platform sah untuk bersuara dan berunding dengan syarikat platform, oleh itu dicadang supaya RUU ini membenarkan mereka menubuhkan kesatuan untuk memperjuangkan hak bersama.

“Saya cadangkan supaya status pekerja gig jelas ditetapkan sebagai kategori khas, yang memberi mereka akses kepada perlindungan sosial seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), PERKESO dan cuti sakit berbayar minimum tanpa menjejaskan fleksibiliti kerja.

“Begitu juga kadar upah yang sesuai dengan kos hidup semasa serta perlindungan insurans wajib,” jelasnya.

Menurutnya lagi, syarikat platform wajar diwajibkan menyediakan insurans kemalangan jalan raya dan insurans hayat kepada semua pekerja gig aktif.

- Advertisement -

Selain cadangnya supaya mewujudkan mekanisme caruman KWSP dan PERKESO yang dikongsi bersama pekerja, syarikat platform serta kerajaan, bukannya ditanggung pekerja sahaja.

Beliau juga menuntut ketelusan syarikat platform dalam mendedahkan secara terus kadar upah tugasan dan penalti ditentukan agar pekerja gig tidak dipermainkan oleh sistem yang kabur.

“Saya mengharapkan supaya RUU ini dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum ia diputuskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025

- Advertisement -