
KUALA LUMPUR: Banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dan diberi perhatian oleh kerajaan dalam Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, beliau bimbang sekiranya RUU itu diluluskan kelak menjadi beban yang terpaksa ditanggung oleh 1.2 juta pekerja, biarpun niat asalnya untuk membela kebajikan golongan itu.
Beliau menasihati kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) agar tidak terburu membuat keputusan, bahkan pihaknya dimaklumkan banyak persatuan meluahkan kekesalan gara-gara tidak terlibat dalam rancangan tersebut.
“Kita tidak perlu gopoh perlu meluluskan sesuatu RUU tetapi mesti memastikan RUU yang hendak diluluskan benar-benar masak dan adil kepada semua, sesi libat urus juga bersifat satu hala, bersifat ‘briefing’ kementerian.
“Sangat kurang perbincangan dua hala dan ambil kira permasalahan sebenar, dan banyak pihak termasuk Kongres Kestuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut melahirkan perasaan kesal kerana mereka tidak terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Nurul Amin turut membangkitkan mengenai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dikenakan kepada pekerja gig yang termaktub dalam RUU tersebut mewajibkan penyedia platform wajib membuat potongan bayaran.
Beliau berkata, caruman tersebut dibuat daripada pendapatan pekerja untuk setiap transaksi kemudian penyedia platform wajib membayar caruman kepada PERKESO dibawah Akta Keselamatan Pekerja Sendiri 2017.
“Isu utama untuk p-hailing ni ialah pendapatan mereka kecil, manakala beban caruman tinggi purata pendapatan p-hailing antara RM5 sehingga RM10 setiap pesanan dan mencapai caruman minima sebanyak RM13 sekupang.
“Seorang penghantar perlu mendapatkan lebih 100 pesanan sebulan, jika kurang mereka tetap perlu menambah baki dengan duit poket sendiri, ini memberikan risiko kepada pekerja, mereka tidak layak mencarum,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025











