Ada peruntukan tak praktikal, boleh beri kesan buruk

RUU Pekerja Gig 2025

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: RUU Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan kerajaan disifatkan mempunyai hasrat murni untuk melindungi kebajikan golongan pekerja gig, namun masih banyak kelompongan perlu ditambah baik sebelum diluluskan.

- Advertisement -

Ustaz Dato’ Ahmad Saad @ Yahaya berkata, walaupun tujuan utama RUU ini adalah memastikan hak pekerja gig sentiasa terbela, namun beberapa peruntukan yang digariskan jelas tidak praktikal dan boleh memberi kesan buruk kepada mereka.

“Antaranya yang pertama Fasal yang ke-11 iaitu hak bagi pendapatan, tempoh 7 hari yang diletakkan ini agak keterlaluan untuk seorang pekerja gig yang mendapat pendapatan secara harian.

“Fasal 11 (2) iaitu mana-mana entiti kontrak (majikan) yang melanggar subseksyen 1, dianggap melakukan kesalahan, titik, berhenti sekadar tu saja, apakah hukuman yang dikenakan kepada mereka secara spesifik? Ini tidak dinyatakan,” tegasnya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut membangkitkan isu penyahaktifan akaun pekerja gig sehingga 21 hari bagi tujuan siasatan, yang menurutnya akan menjejaskan sumber rezeki jika dilaksanakan secara longgar oleh syarikat platform.

“Kedua ialah soal penyahaktifan di bawah perjanjian perkhidmatan, dalam subseksyen 3, penyedia platform boleh mengubah suai atau menggantung akses pekerja gig bagi satu tempoh tidak melebihi 14 hari bagi maksud siasatan.

“Dan subseksyen 6 (B) pula berkenaan lanjutan selama tidak lebih 7 hari pergantungan tersebut, yang kalau dicampurkan dengan jumlah keseluruhan ertinya 21 hari pergantungan.

“Bagaimana nasib para pekerja gig di dalam tempoh ini jika sesuatu langkah penyaktifan ini dilaksanakan secara longgar bukan disebabkan oleh pekerja tetapi berpunca daripada majikan itu sendiri,” katanya.

Ustaz Ahmad juga menegaskan, peruntukan caruman keselamatan sosial kepada pekerja gig adalah langkah baik, namun kementerian perlu menjelaskan mekanisme penguatkuasaan agar tidak hanya syarikat besar yang mampu bertahan.

“Bagaimana langkah kementerian untuk menguatkuasakan perkara ini serta dalam masa yang sama mahu memastikan syarikat platform kecil dan syarikat permulaan dapat bertahan.

“Kena perhatikan juga adalah potongan ke atas pendapatan pekerja gig, adakah ia tidak akan menjejaskan pendapatan nominal mereka jika ia dilaksanakan, jadi mohon penjelasan lanjut daripada pihak kementerian,” ujarnya.

Beliau menyambut baik penubuhan tribunal sebagai ruang menyuarakan isu pekerja gig, namun menekankan aspek literasi undang-undang dan khidmat guaman.

“Apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana literasi perundangan serta khidmat guaman diberikan kepada mereka dalam soal tenaga yang terhad, masa yang terhad serta pengetahuan terhad, undang-undang juga terhad.

“Bagaimana kementerian mahu memastikan golongan ini mendapat akses terhadap tribunal secara mudah dan saksama ini harus diperhatikan secara mendalam.

“Kerana apa yang menjadi kebimbangan adalah ketidakseimbangan maklumat boleh mendorong kepada manipulasi keadaan dan situasi,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar RUU ini dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum diluluskan. – HARAKAHDAILY 28/8/2025

- Advertisement -