Rakyat menang, URA tak jadi dibahas di Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan keputusan kerajaan tidak membahas Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan tidak diundi di Dewan Rakyat hari ini sebagai satu lagi kemenangan kepada rakyat.

Beliau menegaskan, penangguhan itu menjadi bukti bahawa desakan rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak yang tampil tegas membantah URA telah berjaya memberi isyarat kepada kerajaan dan membuahkan hasil.

“URA tidak dibahas dan tidak diundi hari ini. Satu lagi kemenangan kepada rakyat! Teruskan menentang,” ujarnya yang juga Ketua PeneranganPAS Pusat dan Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan, hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu terdahulu menerima serahan memorandum bantahan RUU URA daripada pelbagai NGO di hadapan pintu masuk Parlimen, kelmarin.

Beliau yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegaskan, pihaknya bersama 68 Ahli Parlimen pembangkang akan menentang URA yang dijadual untuk dibentangkan.

Katanya, walaupun rang undang-undang itu kelihatan kecil, kesannya menyeluruh terhadap kehidupan rakyat dan kedaulatan negeri.

“Dalam Parlimen pada Khamis lalu, Menteri Nga Kor Ming telah membentangkan rang undang-undang ini untuk bacaan kali pertama. Kami pembangkang telah membantah ketika itu supaya ia ditarik balik dan ditangguh.

“Malah, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Infrastruktur dan Pengangkutan yang dipengerusikan Ahli Parlimen kerajaan dari Tanjung Manis juga telah menulis surat kepada Nga Kor Ming supaya menangguh dan menarik balik bil ini, tetapi tidak dihiraukan,” katanya.

Takiyuddin turut menegaskan, URA bukan sahaja mencabar kuasa negeri, malah turut menjejaskan kuasa Raja-raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, walaupun menteri berkenaan mendakwa URA mendapat sokongan kerajaan negeri, empat negeri di bawah SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis secara tegas menolaknya.

“Kita faham negeri-negeri yang diterajui Umno seperti Pahang, Perak, Melaka dan Johor. Adakah mereka mahu berdiam diri untuk tidak menentang akta zalim ini?” soalnya.

Takiyuddin turut menegaskan, URA bercanggah dengan Perlembagaan, Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah dan Akta Hak Milik Strata. – HARAKAHDAILY 28/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -