
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi jaminan terhadap hasil cukai yang dikutip dapat diagihkan semula untuk manfaat rakyat selepas dasar semakan semula dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan.
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, hasil peningkatan kadar SST daripada enam peratus kepada lapan peratus dilihat membebankan kehidupan rakyat berpendapatan rendah meskipun tidak semua barangan dikenakan cukai.
Beliau juga mempersoalkan kaedah dilaksanakan kerajaan untuk memastikan cukai yang dikutip dapat dinikmati oleh rakyat secara langsung terutamanya di kawasan pendalaman negara terutama tempat tidak mempunyai kemudahan awam sempurna.
“Begitu jugalah bagaimana hasil cukai ini akan dapat diperuntukkan khusus untuk pembangunan sosioekonomi di daerah pedalaman ini termasuk juga pembaikan infrastruktur asas yang sangat diperlukan oleh rakyat.
“Bagaimanakah kaedah yang lebih baik yang telah dirancang oleh kerajaan untuk memastikan semua cukai-cukai ini terus dapat hasil kepada rakyat di bawah sana terima kasih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam jawapannya menegaskan kerajaan tidak pernah berhasrat untuk meminggirkan kategori pendapatan isi rumah rendah B40 dan menengah M40 yang terjejas dengan kenaikan cukai.
Beliau berkata, langkah-langkah dirangka bagi menjaga kehidupan golongan tersebut, bahkan setiap hasil tambahan dari penstrukturan semula sistem percukaian negara diuruskan dengan kebertanggungjawaban dan ketelusan fiskal.
“Usaha ini bukan kita tidak mahu membebankan rakyat, tetapi bertujuan untuk menambah keupayaan fiskal kerajaan supaya dapat dipulangkan semula kepada rakyat melalui program dan bantuan lebih besar seluruh negara.
“Berkenaan kemudahan awam, kita memang ada peruntukkan untuk memperbaiki sekolah, klinik daif di kawasan luar bandar termasuk di Kedah dan juga bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Terdahulu dalam sesi jawapan lisan Ahmad Tarmizi melontarkan soalan mengenai hasil kajian impak terhadap dasar semakan semula dan peluasan SST, pelbagai cukai baru diperkenalkan ke atas golongan berpendapatan rendah. – HARAKAHDAILY 28/8/2025











